GEORGE TOWN – Seorang lelaki obesiti dengan berat 150 kilogram yang juga orang kurang upaya (OKU) terpaksa mendapatkan bantuan pihak bomba untuk membawanya turun dari rumah di tingkat satu di Batu Uban di sini, hari ini.
Lelaki berusia 64 tahun itu mengalami kecederaan pada kaki kanan dan perlu mendapatkan rawatan susulan di hospital.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pihak Kementerian Kesihatan (KKM), kira-kira pukul 8.01 pagi tadi.
Menurutnya, operasi melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak dan mangsa dibawa turun dengan menggunakan selimut dari kediamannya.
“Mangsa berada dalam keadaan sedar dan mengalami pendarahan pada kaki kanan. Operasi mengambil masa satu minit dengan menggunakan laluan tangga. Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut,” katanya petang tadi.- KOSMO! ONLINE














