PETALING JAYA – Penyanyi Mimi Fly mengakui pernah terlalu mengejar cinta sehingga menganggap kebahagiaannya bergantung kepada kehadiran seorang lelaki, namun pengalaman pahit itu akhirnya mengubah perspektif hidupnya.
Ujar Mimi atau nama sebenarnya Shamini Amalina Norhisham, 39, wanita sebenarnya memiliki kekuatan tersendiri, namun sering terperangkap dengan keinginan untuk mengubah dan membentuk pasangan.
“Dulu saya memang gilakan lelaki. Kita sebagai wanita sebenarnya sangat berkuasa.
“Secara semula jadi, kita rasa seperti perlu membentuk dan membina seorang lelaki, seolah-olah itulah tujuan hidup kita,” katanya dalam sebuah program audio siar.
Menurut pelantun lagu Temberang itu, seiring pertambahan usia, dia sedar seseorang wanita tidak sepatutnya mengorbankan identiti semata-mata demi sebuah hubungan.
“Ya, saya seorang artis, tetapi saya juga mahukan pasangan hidup yang melihat saya seadanya, menerima saya seperti diri saya yang sebenar dan memberi ruang untuk saya menjadi diri sendiri.
“Saya rasa tujuan hidup saya jauh lebih besar dan masih banyak impian yang mahu saya capai. Namun, hubungan itu tidak menjadi kerana perasaan tersebut tidak berbalas,” ujarnya.
Malah, Mimi menganggap episod putus cinta sebagai titik kebangkitan dalam hidup dan kerjayanya sehingga melahirkan karya baharu.
“Namun, saya perlukan putus cinta untuk kembali bersinar.
“Lagu kemunculan semula saya lahir daripada episod perpisahan itu. Jadi, terima kasih kepada perpisahan tersebut,” jelasnya.
Menjengah ruangan komen, rata-rata netizen memuji keterbukaan Mimi berkongsi pengalaman hidup selain menganggap luahannya memberi inspirasi kepada ramai wanita.
“Betul, kadang-kadang putus cinta bukan penamat, tetapi permulaan hidup lebih baik.
“Mimi nampak lebih matang dan lebih yakin dengan diri sendiri sekarang.
“Semoga terus berjaya. Terima kasih kerana berkongsi kisah yang ramai wanita pernah lalui,” tulis netizen.
Bagaimanapun, ada juga segelintir netizen berpendapat pengalaman setiap individu berbeza dan tidak semua hubungan berakhir dengan kekecewaan, malah percaya masih ramai lelaki yang mampu menghargai wanita seadanya. – KOSMO! ONLINE.














