fbpx

14 premis judi haram di Manjung dipotong bekalan elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOR Omar Sappi (tiga dari kiri) melihat kakitangan TNB memotong bekalan elektrik sebuah restoran yang menjalankan kegiatan penjualan judi tidak berlesen di Ayer Tawar, Perak, hari ini.

LUMUT – Sebanyak 14 premis perniagaan di daerah Manjung yang terus degil menjadi ejen judi tidak berlesen walaupun pernah diserbu beberapa kali, menerima padah apabila bekalan elektriknya dipotong hari ini.

Ia melibatkan sembilan restoran di Ayer Tawar serta lima kedai aksesori telefon iaitu empat di Sitiawan dan sebuah di Lumut.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata tindakan itu dilakukan menerusi Ops Dadu Khas di bawah Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Premis tersebut berselindung di sebalik perniagaan sah. Contohnya, restoran di Ayer Tawar ini buka kedai runcit mini dalam premis untuk jadi ejen judi dalam talian secara ‘top- up’ serta judi nombor ekor haram dengan kaedah pengeluaran slip nombor ekor,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melihat operasi pemotongan bekalan elektrik dilakukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sebuah restoran di Ayer Tawar, dekat sini.

Menurut beliau, siasatan pihaknya mendapati ejen perjudian tersebut memperolehi hasil jualan hingga beribu ringgit sehari dan mereka memperoleh komisen antara 18 hingga 22 peratus bagi setiap perolehan jualan tersebut.

Beliau menjelaskan, sejak 1 Januari lalu hingga hari ini, pihaknya telah melakukan 73 serbuan dengan 21 daripadanya telah dituduh di mahkamah manakala selebihnya masih dalam siasatan.

Bagi sepanjang tahun lalu pula, beliau memaklumkan sebanyak 352 serbuan dilakukan dengan 259 daripadanya didakwa di mahkamah, 19 premis dipotong bekalan elektrik manakala selebihnya masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI