fbpx

PRG catat keuntungan tertinggi, melebihi RM300 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – PRG Holdings Berhad (PRG) mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) paling tinggi bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (“FY2022″) dengan pendapatan mencecah paras RM300 juta buat kali pertama.

Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan PRG, Datuk Lua Choon Hann berkata, pendapatan PRG meningkat sebanyak 61.4 peratus kepada RM307.5 juta, manakala PBT meningkat hampir empat kali ganda kepada RM58 juta berbanding RM15.6 juta pada FY2021.

Jelas beliau, keputusan menceburi perniagaan tenaga efisien serta sumbangan keuntungan yang kukuh daripada segmen pembangunan dan pembinaan hartanah sambil dipacu prestasi konsisten dalam perniagaan pembuatan membuahkan keputusan cemerlang pada FY2022.

Tambahnya, ia melebihi daripada jangkaan dan usaha berterusan PRG untuk menyelaraskan operasi telah menghasilkan margin keuntungan bersih yang lebih baik pada FY2022.

“Segmen pembangunan dan pembinaan hartanah merupakan penyumbang terbesar kumpulan, menyaksikan pendapatan dan PBT mereka meningkat dengan ketara kepada RM144.1 juta dan RM40.7 juta pada FY2022.

“Bagi segmen pembuatan ia menghasilkan pendapatan sebanyak RM112.1 juta pada FY2022 dan PBT sebanyak RM12.4 juta, peningkatan yang sangat ketara dalam PBT.

“Sementara itu, bagi segmen tenaga efisien yang baru diceburi mencatatkan pendapatan sebanyak RM49.8 juta serta PBT sebanyak RM13 juta pada FY2022, hasil daripada kontrak solusi tenaga dan kontrak perkhidmatan penyelenggaraan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Mengulas lanjut, Choon Hann berkata, ketiga-tiga segmen terbabit telah menyumbang kepada majoriti pendapatan PRG bagi FY2022.

Beliau berkata, tahun 2023 dijangka lebih mencabar untuk semua perniagaan memandangkan unjuran pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan di peringkat global termasuk Malaysia.

“Bagaimanapun, PRG akan kekal berdaya tahan dan berwaspada untuk menguruskan risiko yang berkaitan bagi mengekalkan kemampanan perniagaan,” ujarnya. -KOSMO ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI