fbpx

Coast Guard Malaysia: Ops Helang ‘terbang’ ke Itali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FILEM Coast Guard Malaysia: Ops Helang menembus tayangan luar negara apabila dipelawa menyertai sebuah festival filem di Itali.

PETALING JAYA – Meraih kutipan RM5 juta dalam tempoh dua minggu tayangan, filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang terus melakar kecemerlangan apabila dicalonkan menyertai Festival Filem Far East (FEFF) di Itali.

Penerbitnya, Arie Zaharie berkata, wakil penganjur FEFF menghubunginya bagi memaklumkan mengenai berita pencalonan tersebut, baru-baru ini.

“Saya dihubungi pihak Festival Filem Antarabangsa Malaysia yang menjadi rakan kolaborasi dengan FEFF sejak bertahun-tahun lalu.

“Mereka memaklumkan ingin mencalonkan filem ini ke acara FEFF yang dijadualkan berlangsung di Udine, Itali pada April depan.

“Bagi melengkapkan penyertaan, pihak kami pun sudah menghantar bahan yang diperlukan mengikut syarat ditetapkan,” katanya kepada Kosmo! Online.

ARIE Zaharie (tiga dari kiri) bersama barisan pelakon Coast Guard Malaysia: Ops Helang dan rakan strategik filem itu. Foto – AMIR KHALID

Selain Coast Guard Malaysia: Ops Helang, dua filem tempatan lain yang turut berada dalam senarai FEFF adalah The Assistant dan Talbis Iblis.

Filem arahan Allahyarham Pitt Hanif tersebut mencatat jumlah kutipan RM5 juta selepas 10 hari pertama ditayangkan di lebih 140 pawagam seluruh negara.

Katanya lagi, selepas minggu kedua, naskhah berkenaan masih mendapat sambutan hangat dengan jumlah pawagam yang menurun sedikit ke angka 103 premis.

Maklum balas memberangsangkan diterima daripada penonton sekali gus menunjukkan potensi filem tersebut boleh meraih lebih banyak kutipan sehingga RM7 juta sepanjang musim cuti sekolah ini.

“Buat masa ini, kedudukan naskhah ini di panggung wayang berada di tangga ketiga dengan filem blockbuster Hollywood iaitu Ant Man menduduki carta teratas.

“Kami yakin ramai lagi akan ‘turun’ membawa anak-anak mengikuti kisah yang sarat unsur kenegaraan dan semangat juang ini bersandarkan komen penonton sebelum ini.

“Kami juga difahamkan ramai yang menonton lebih daripada sekali disebabkan tidak puas menyaksikan plot kisah yang sarat pengajaran,” ujarnya.

ARIE ZAHARIE

Pada masa sama, pemilik Arie Azharie Production itu menyatakan impak yang diterima filem berkenaan turut menarik minat platform penstriman, Amazon menayangkannya di saluran itu bermula Jun depan.

“Kami berbesar hati apabila saluran OTT (Over The Top) seperti Amazon ‘terpikat’ dengan keistimewaan Coast Guard Malaysia: Ops Helang yang tentu saja dapat diikuti peminat filem aksi luar negara,” katanya.

Filem yang menelan kos sebanyak RM13 juta tersebut menampilkan Saharul Ridzwan dan Julia Farhana Marin selaku bintang utama, selain Adlin Aman Ramlee, Sabri Yunus, Aziz M. Osman dan Hazama.

Mengetengahkan ketangkasan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menjaga keselamatan perairan negara, karya aksi tersebut menggunakan aset ketenteraan seperti tiga kapal besar, empat helikopter, 10 bot laju dan kelengkapan senjata api serta ‘machine gun’.

Menjalani penggambaran selama 60 hari di sekitar Pulau Langkawi, Kedah dan Kuantan, Pahang pada 2019, bagi menghidupkan babak, produksi turut membina perkampungan lanun yang terpaksa diletupkan pada penghujung cerita membabitkan kos RM400,000.

Selain Arie Zaharie Production, filem berkaitan unit berunifom yang sarat aksi mendebarkan itu juga diterbitkan bersama Flying Deals Sdn. Bhd. dan Maritim Malaysia di bawah edaran Metrowealth International Group. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI