fbpx

Tiada kompromi polis terlibat jenayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin ketika merasmikan Ibu Pejabat Daerah Polis Serdang, hari ini. Foto oleh Muhamad Iqbal Rosli/KOSMO!

SERDANG – Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi dengan warga kerjanya yang terlibat dengan sebarang bentuk kesalahan jenayah, dadah mahupun menjadi ahli kepada mana-mana kumpulan haram.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati bersalah.

“Suka saya mengambil ruang dan peluang yang ada ini untuk mengulangi peringatan pucuk pimpinan bahawa PDRM tidak akan melindungi atau cuba menyembunyikan warga kerjanya.

“Warga pasukan diingatkan supaya sentiasa menjaga tingkah laku walau di mana berada serta apa jua keadaan sekali pun.

“Tidak dapat dinafikan bahawa, dalam perkembangan serta kepesatan teknologi media sosial pada masa kini, kita juga sering menjadi perhatian masyarakat,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, disini hari ini.

Tambahnya, seluruh pasukan perlu berpegang teguh kepada tiga fokus utama yang telah ditetapkan oleh Yang Dihormati Tan Sri Ketua Polis Negara supaya tidak tersasar daripada landasan yang betul.

Dalam majlis yang sama, Razarudin turut memuji pencapaian yang telah ditunjukkan oleh IPD Serdang dalam membanteras kegiatan jenayah, judi, maksiat, aktiviti pengedaran dadah serta menangani ancaman penipuan dalam talian daripada berleluasa di daerah ini.

“Saya yakin prasarana moden yang dibina dengan kos sebanyak RM60 juta ini, bukan sahaja menjadi mercu kebanggaan buat warga IPD Serdang, tetapi juga dapat menyuntik semangat warga kerja untuk menjalankan tugas dengan lebih efisien,” ujarnya.

IPD Serdang telah dirasmikan pada hari ini sejak tahun 2012 dengan terdiri daripada empat balai utama iaitu Balai Polis Puchong Jaya, Balai Polis Kinrara, Balai Polis Serdang dan Balai Polis Seri Kembangan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan berkata, beliau berbesar hati kerana IPD Serdang dipilih untuk dirasmikan secara dasar oleh Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman walaupun sudah 11 tahun ditubuhkan.

“Apabila Ibu Pejabat membuat semakan dasar, IPD mana yang belum dirasmikan, mereka dapati IPD Serdang masih belum lagi. Maka terpilihlah kami untuk dirasmikan.

“Sambutan hari ini diraikan dengan tema kepelbagaian budaya sekaligus menunjukkan toleransi antara kaum Malaysia Madani,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI