fbpx

K2

Ramai tidak sedar impak kahwin lari di luar negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasangan berkahwin di luar negara seperti di selatan Thailand perlu mendaftarkan perkahwinan mereka di pejabat agama Malaysia bagi mengelakkan sebarang kesulitan. – Gambar hiasan

ISU perkahwinan di luar negara terutamanya di Thailand bukanlah isu baharu, bahkan ia akan menjadi isu hangat secara bermusim.

Isu ini akan menjadi lebih panas jika pihak yang terlibat dikenali ramai sama ada orang kenamaan, artis dan sebagainya.

Isu perkahwinan di Thailand tidak pernah menunjukkan penurunan ketara, mungkin menurun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun kini kembali meningkat apabila pintu-pintu sempadan kembali dibuka.

Perkahwinan merentasi sempadan ialah sebarang urusan pernikahan yang dijalankan di luar negara dengan menggunakan khidmat jurunikah di negara tersebut.

Perkahwinan merentasi sempadan begitu sinonim dengan masyarakat Malaysia seperti perkahwinan di Narathiwat, Pattani, Songkhla dan lain-lain daerah di selatan Thailand.

Hasil soal selidik yang dijalankan terdapat beberapa jawapan bagi persoalan ini.

Rata-rata mereka berpendapat, melangsungkan perkahwinan di selatan Thailand lebih mudah, ringkas dan murah berbanding di Malaysia.

Tidak kurang juga perkahwinan merentasi sempadan berlaku disebabkan pasangan tidak mendapat restu keluarga, mereka yang terlanjur, masalah kewangan mengadakan majlis perkahwinan dan suami ingin berpoligami.

Jumlah mereka yang terjebak dengan perkahwinan merentasi sempadan bukannya sedikit, lebih-lebih lagi setelah sempadan dibuka selepas tempoh PKP berakhir.

Selain itu, ramai yang melihat kes nikah sempadan sebagai isu remeh.

Namun, jika diabaikan tanpa tindakan atau pengawalan sewajarnya, ia bakal menjadi gejala yang boleh merosakkan institusi keluarga.

Pasangan yang berkahwin di negara jiran seperti di selatan Thailand dan lain-lain tidak memikirkan risiko bakal mereka hadapi terutamanya jika perkahwinan tidak didaftarkan.

Perlu difahami bahawa tidak semua perkahwinan tersebut sah mengikut hukum syarak. Lebih-lebih lagi, bagi pernikahan yang menggunakan khidmat sindiket.

Oleh itu, semua pasangan yang bernikah di luar negara mesti membuat pengesahan nikah terlebih dahulu di mahkamah syariah bagi menentukan kesahihan pernikahan tersebut mengikut hukum syarak.

Setelah mahkamah mengesahkan pernikahan itu, satu perintah akan dikeluarkan bagi membolehkan pasangan tersebut mendaftarkan perkahwinan di pejabat agama.

Pendaftaran di pejabat agama bertujuan bagi membolehkan surat nikah Malaysia dapat dikeluarkan.

Persoalan sama ada perkahwinan mereka ini sah di sisi syarak atau sebaliknya merupakan antara isu yang memerlukan jawapan tuntas.

Jika perkahwinan tersebut tidak sah, maka ia perlu difaraqkan dan dinikahkan semula sekiranya masih mahu bersama sebagai suami isteri.

Biasanya, sesebuah perkahwinan merentasi sempadan tidak sah. Ini kerana, mereka menggunakan wali hakim yang tidak dilantik pemerintah.

Kes seperti ini kerap berlaku kepada pernikahan yang menggunakan khidmat sindiket apabila wali tidak bertauliah.

Selain itu, terdapat keraguan status kesahan perkahwinan merentasi sempadan menurut syarak.

Malah, terdapat beberapa implikasi lain terutama jika pasangan gagal mendaftar perkahwinan mereka di pejabat agama di negara ini.

Antara kesan kegagalan membuat pendaftaran perkahwinan merentasi sempadan adalah menyukarkan proses membuat sijil kelahiran anak di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana tidak mempunyai sijil nikah Malaysia.

Kegagalan mendaftar pernikahan juga mengakibatkan proses pendaftaran persekolahan anak kerana setiap pendaftaran tahun satu memerlukan sijil nikah ibu bapa.

Ketiadaan sijil nikah juga menyukarkan proses tuntutan di mahkamah bersabit dengan urusan pernikahan, perceraian atau tuntutan harta sepencarian dan harta pusaka.

Lebih menyedihkan, ada isteri yang digantung tidak bertali kerana gagal menuntut haknya di mahkamah.

Perlulah diingatkan kesan daripada kesilapan ibu bapa yang gagal mendaftar perkahwinan merentasi sempadan akan memberi impak besar dalam proses pendaftaran kelahiran di JPN.

Ini kerana, perkahwinan yang gagal didaftarkan akan mengakibatkan anak mereka tidak sah taraf, sekalipun perkahwinan itu sah di sisi syarak.

Hasil kajian melalui temu bual yang dibuat, pihak yang berkahwin di luar negara majoritinya adalah bekerja sendiri seperti berniaga, pemandu dan buruh.

Tidak dinafikan terdapat juga mereka yang mempunyai ekonomi yang kukuh seperti pegawai kerajaan atau swasta dan berkedudukan tinggi, namun jumlahnya adalah rendah.

Pelbagai usaha dibuat oleh jabatan-jabatan agama bagi mencari penyelesaian terhadap permasalahan perkahwinan di selatan Thailand.

Namun, kes-kes ini tidak berkurangan, sebaliknya semakin meningkat saban hari.

Malangnya, jabatan agama sering menjadi sasaran ‘peluru-peluru buta’ terutama netizen yang tidak memahami situasi sebenar.

Terdapat juga pihak-pihak yang menyalahkan jabatan agama di negeri-negeri yang membenarkan perkahwinan di Thailand didaftarkan.

Sekiranya ia tidak didaftarkan, sudah tentu pihak-pihak ini tidak berani berkahwin di Selatan Thailand.

Mereka menganggap tindakan ini seolah-olah jabatan agama menggalakkan perkahwinan melangkaui sempadan.

Tanggapan ini hanya keluar daripada seseorang yang ingin menzahirkan kemarahan tanpa mengetahui situasi sebenar.

Jika perkahwinan ini tidak didaftarkan, ia akan mengundangkan kesan negatif dan mafsadah (kerosakan) lebih besar kepada masyarakat.

Penguatkuasaan dan hukuman kepada mereka yang kahwin di negara-negara jiran perlu disemak semula bagi memastikan keberkesanannya.

Denda dan hukuman-hukuman lain sudah lama dan perlu disemak semula.

Mungkin ia terlalu rendah atau ringan dan tidak sesuai dengan keadaan semasa. Hukuman yang memberi kesan dan bukan sekadar denda lebih memberi pengajaran seperti khidmat masyarakat

Jika terlalu berat akan mengakibatkan kesan besar pula kepada isteri dan anak-anak. Ini kerana, suami tidak mahu mendaftarkan perkahwinan tersebut.

Kesan tidak mendaftar akan mengakibatkan isteri tergantung tidak bertali khususnya jika melibatkan kes-kes mahkamah seperti cerai, tuntutan nafkah dan lain-lain.

Kesan tidak berdaftar perkahwinan juga akan menyebabkan anak tidak dapat didaftarkan di JPN.

Menyekat perkahwinan merentasi sempadan daripada berlaku adalah perkara mustahil untuk direalisasikan.

Mereka yang bertindak berkahwin di luar negara mempunyai pelbagai alasan untuk membenarkan perkahwinan tersebut.

Sekiranya sekatan dibuat di selatan Thailand, mereka boleh melangsungkan perkahwinan di Indonesia, Vietnam atau negara-negara lain. Kesan daripada perkahwinan tersebut tetap berlaku sehingga tiada kesudahannya.

Bukan hanya perlu mencari jalan menyekat, perkara yang perlu difikirkan oleh kerajaan dan jabatan agama juga adalah penyelesaian terhadap kesan perkahwinan merentasi sempadan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI