fbpx

Jangan salahkan orang lain, berani buat berani tanggung – Isham Jalil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dari kiri Muhyiddin, Isham dan Wan Saifulruddin.

PETALING JAYA – Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil menegaskan sikap menyalahkan orang lain akibat tindakan sendiri adalah tidak wajar lebih-lebih lagi melibatkan salah guna kuasa dan rasuah.

Selain itu, beliau turut menyelar dakwaan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila mengaitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai dalang utama pihaknya dipanggil SPRM.

“Muhyiddin kata sebab Presiden UMNO panggil dia (Muhyiddin) kluster mahkamah kononnya Presiden UMNO menjadi dalang dia dan rakan-rakan kena panggil SPRM.

“Saya yang paling awal kata dan jangka sebelum pilihan raya lagi kamu dan puak-puak kamu akan jadi kluster mahkamah sebab disyaki terlibat dalam rundingan kontrak kerajaan secara terus.

“Tapi ini tidak bermakna saya yang suruh kamu beri kontrak ini secara rundingan terus dan suruh kamu ambil komisen beratus juta untuk kepentingan politik. Ini semua kamu dan rakan-rakan kamu dituduh buat sendiri. Usah salahkan orang lain apabila kamu ditangkap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Isham, beliau tidak pernah mengambil rasuah atau apa-apa komisen walaupun sudah berkhidmat selama 20 tahun dalam kerajaan daripada pegawai rendah sehingga menjadi pengarah.

“Kamu (Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan) dan rakan-rakan yang hanya berada dalam kerajaan selama 17 bulan dilihat sudah pandai ‘sakau’ duit dan ada tuduhan kes rasuah berjuta.

“Laporan menyebut semasa kamu meminta dan menerima sogokan RM6 juta tersebut ketika masih memegang jawatan dalam kerajaan. Ini salah, bukan sahaja dari segi etika tetapi di sisi undang-undang,” ujarnya.

Justeru, beliau memberikan nasihat kepada Muhyiddin dan Wan Saiful agar berani berhadapan dengan tindakan yang telah dibuat.

“Saya hanya ingin kata kepada kamu semua, berani buat berani tanggung dan sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua,” jelasnya.

Semalam, Kosmo! melaporkan Wan Saifulruddin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan rasuah RM6.9 juta membabitkan projek Program Jana Wibawa yang bernilai RM232 juta tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI