fbpx

Waris pelajar nakal perlu bayar ganti rugi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video yang memaparkan beberapa pelajar merosakkan harta benda sekolah tular di media sosial baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menuntut waris kepada sekumpulan pelajar yang terlibat dengan kegiatan vandalisme di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Seberang Perai Selatan di sini baru-baru ini membayar semula ganti rugi bagi kelengkapan yang rosak.

Pegawai Pendidikannya, N.V. Subbarow berkata, desakan itu dibuat agar waris dan pelajar terbabit bertanggungjawab ke atas salah laku merosakkan harta benda awam, sekali gus tidak mengulangi lagi perbuatan tersebut pada masa depan.

Menurutnya, meskipun tindakan itu bersifat tegas, namun ia perlu dilakukan segera.

Katanya, ia boleh dibuat sama ada melalui kaedah pembayaran secara tunai mahupun ansuran kepada sekolah berkenaan.

“Pembelajaran di sekolah disediakan secara percuma, manakala kelengkapan dan pe­rabot dirosakkan itu merupakan harta benda yang menjadi hak milik kerajaan.

“Duit (peruntukan pembelian kelengkapan) itu pula diambil daripada cukai. Pihak sekolah perlu lebih serius menangani masalah itu supaya kejadian sama tidak berulang melibatkan pelajar-pelajar lain,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Dalam pada itu, Subbarow memberitahu lagi, pihak Persa­tuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan juga sewajarnya memainkan peranan penting supaya pembayaran ganti rugi daripada waris pelajar terlibat dapat dilakukan.

“CAP harap ini merupakan kejadian terakhir berlaku melibatkan pelajar sekolah. Mereka (pelajar) perlu ditingkatkan ke­sedaran menerusi tindakan tegas dan disiplin atas kesalahan yang dilakukan.

“Bukan sahaja kesalahan ke­rana merosakkan kelengkapan seperti perabot dan barangan elektrik sekolah, malah tanaman pokok bunga serta landskap sekolah juga antara yang tersenarai sebagai perbuatan vandalisme,” tambahnya.

Terdahulu, CAP menyifatkan perbuatan sekumpulan pelajar lelaki terbabit itu mungkin dipe­ngaruhi aksi-aksi ganas menerusi filem Tamil yang ditayangkan di televisyen.

Ujar Subbarow, kejadian yang berlaku itu mengundang rasa malu dan kurang senang dalam kalangan guru serta pelajar.

Sabtu lalu, tular dua rakaman video di media sosial yang me­maparkan tindakan sekumpulan pelajar lelaki merosakkan harta benda sekolah seperti kerusi, kipas angin dan pintu tandas. Kejadian berkenaan dikatakan berlaku semasa hari ter­akhir sesi persekolahan 2022/2023 Jumaat lepas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI