fbpx

Premis makanan ada lipas, najis tikus diarah tutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara tempat penyediaan makanan di salah satu premis yang berada dalam keadaan kotor dan menjijikkan

PETALING JAYA – Empat premis makanan di Jalan Kuchai Maju, Seputeh telah diarah tutup oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula hari ini, selepas didapati beroperasi dalam keadaan yang kotor dan menjijikkan.

DBKL dalam satu hantaran di akaun Facebooknya berkata, premis-premis tersebut didapati terdapat urungan lipas dan najis tikus serta bahan makanan diletakkan secara terus di atas lantai.

Ujarnya, keadaan lantai dapur atau tempat penyediaan makanan juga didapati kotor dan berdaki hitam serta terdapat sisa makanan.

“Semalam, DBKL telah melaksanakan Operasi Penguatkuasaan Malam (OPM) bermula pukul 7.30 malam dengan kekuatan seramai 31 orang anggota daripada Pejabat Kesihatan dan Penguatkuasaan.

“Operasi telah melibatkan 25 premis makanan di lokasi terbabit dimana empat daripadanya telah diarah tutup berkuatkuasa hari ini kerana gagal mencapai tahap kebersihan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat pengendali makanan gagal mendapatkan suntikan tifoid atau Kursus Asas Penyediaan Makanan dan majikan juga mengambil pekerja warga asing tanpa permit kerja yang sah,” katanya.

Tambahnya, terdapat premis berani menjalankan perniagaan tanpa lesen daripada Datuk Bandar Kuala Lumpur dan aktiviti perniagaan turut dijalankan di kaki lima dan lorong belakang.

Katanya lagi, perangkap minyak di premis-premis tersebut juga tidak dipasang dan tidak diselenggara dengan sempurna selain meletakkan halangan kerusi dan meja makan di atas kaki lima jalan.

Sehubungan itu, sejumlah 42 notis kompaun di bawah UUK PPM (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016, UUK Pengendali Makanan 1979 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1976 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Penutupan premis dilaksanakan di bawah UUK 28(1) UUKPPM (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016.

“DBKL akan meneruskan operasi seumpama ini dari semasa kesemasa bagi memastikan pengendali makanan mematuhi peraturan dan piawaian yang telah ditetapkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI