fbpx

Mahkamah: Peniaga gagal batal tulisan jawi pada papan tanda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Dua peniaga di Kuantan gagal membatalkan keputusan Kerajaan Negeri Pahang yang mengarahkan tulisan jawi dipaparkan pada papan tanda premis perniagaan di bandar tersebut.

Perkara itu ditentukan selepas Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara menolak rayuan Jehan Abdullah dan A. Dana Palan tanpa perintah kos kerana kes itu melibatkan kepentingan awam.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Yaacob Md. Sam berpuas hati arahan Majlis Mesyuarat Exco negeri menguatkuasakan tulisan Jawi jenis Al-Taibah pada papan tanda premis perniagaan adalah munasabah dan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, beliau yang bersidang bersama Datuk P. Ravinthran dan Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan yang menolak permohonan semakan kehakiman mereka.

Hakim Yaacob menyatakan, Seksyen 107 (2) Akta Kerajaan Tempatan (LGA) 1976 tidak bercanggah dengan Perkara 8 atau Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan. Oleh yang demikian, mahkamah berpendapat Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf ketika menolak permohonan semakan kehakiman ketiga-tiga pemohon.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab. Aziz dalam penghakiman bertarikh 5 Ogos 2021 berpuas hati, polisi yang diputuskan oleh kerajaan negeri melalui Mesyuarat Exco tidak boleh diganggu kerana mahkamah hanya berperanan untuk mentafsir undang-undang yang digubal di Parlimen.

“Jika mahkamah dibenarkan mengganggu setiap polisi yang diputuskan oleh kerajaan negeri, maka sudah tentu ia akan bermaksud mahkamah boleh campur tangan dalam apa-apa polisi yang diputuskan.

“Ini bukan tugas mahkamah. Jika mana-mana pihak tidak berpuas hati dengan apa-apa polisi yang diputuskan, mereka berhak menukar kerajaan tersebut melalui peti undi sewaktu pilihan raya,” ujar Hakim Zainal Azman. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI