fbpx
RAHMAH (kiri) telah mengusahakan perniagaan Kak Mah Frozen sejak tahun 2011.

Kuih Kak Mah guna bahan mentah tanam sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERMINTAAN terhadap makanan sejuk beku semakin berkembang seiring dengan perkembangan teknologi maklumat di era manusia inginkan sesuatu yang cepat.

Bidang perniagaan makanan turut tidak terkecuali untuk memenuhi permintaan orang ramai mendapatkan makanan yang boleh disediakan dengan segera tanpa melalui proses yang memakan masa lama. 

Menurut usahawan kuih-muih tradisional sejuk beku jenama Kak Mah Frozen di Kampung Labohan Dagang, Banting, Selangor, Rahmah Mahit, 66, masyarakat masa kini terutama golongan wanita mendambakan produk makanan yang pantas dan boleh dihidangkan dengan cepat. 

“Semasa saya memulakan bisnes ini pada tahun 2011, kuih-muih tradisional sejuk beku masih kurang popular dalam kalangan masyarakat. 

“Apabila teknologi pembuatan makanan semakin berkembang pesat dan kuih-muih boleh disejuk bekukan, maka bisnes saya pun semakin berkembang,” katanya.

Rahmah yang merupakan ibu kepada tiga anak perempuan dan enam lelaki berusia antara 25 hingga 40 tahun berkata, tugas menguruskan rumah tangga dan perniagaan diuruskan dengan sebaiknya tanpa kompromi. 

Katanya, sebelum ini, produk kuih tradisional sejuk bekunya terhad kepada lima kuih seperti karipap, cucur badak, pulut panggang dan lemper, namun kini kuih-muih yang dipasarkan semakin bertambah. 

“Sekarang saya turut memasarkan kuih kasturi, getok ubi, donat, koci labu, koci pulut hitam, lepat ubi, lepat pisang, pau kacang, pau sambal, berlian dan masalode. 

“Kesemua produk dijual sebungkus dengan kuantiti ditetapkan dengan harga antara RM6 hingga RM7,” katanya. 

SEMUA pekerja Kak Mah terdiri daripada penduduk kampung.

Rahmah memberitahu, biarpun kenaikan kos diesel dan petrol memberi kesan kepada peniaga, numun pihaknya cuba untuk mengekalkan harga sedia ada.

“Apabila harga minyak naik, peniaga pun akan menaikkan harga produk mereka, tetapi kita cuba mengekalkan harga agar tidak membebankan mereka. Selagi daya, saya akan kekalkan harga,” katanya.

Rahmah yang turut memiliki perniagaan inap desa berkata, hasil keuntungan perniagaan kuih-muih sejuk beku digunakan sebaiknya untuk mewujudkan perniagaan baharu, walaupun agak meletihkan pada awalnya. 

“Pelanggan inap desa saya turut membeli produk saya dan mempromosi kuih saya kepada kenalan mereka. 

“Kuih-muih ini turut saya hidangkan kepada penghuni inap desa yang inginkan sarapan ala kampung. 

“Ini membolehkan mereka merasa keenakan kuih yang dihidangkan, lalu turut membeli untuk dibawa pulang,” katanya. 

Mengulas mengenai bekalan bahan mentah, Rahmah memberitahu, memandangkan lokasi perniagaannya di tengah kampung, maka masalah mendapat bahan mentah dapat diminimakan.

Katanya, bekalan bahan mentah seperti ubi kayu, pisang dan pokok kelapa ditanam sendiri, sekali gus dia dapat mengawal kos penghasilan kuih.

“Sejak 15 tahun lalu, saya sendiri yang menanam pokok-pokok seperti kelapa dan pisang sebagai bahan mentah produk makanan.

“Malah semasa masih kuat dulu, saya sendiri mengopek kelapa dengan ‘chop’ sehingga 20 biji untuk dijadikan inti dan santan kuih-muih tradisional. Sekarang kita upah orang untuk melakukan kerja-kerja tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai tenaga kerja, Rahmah memaklumkan, semua pekerjanya terdiri daripada penduduk kampung yang dibayar mengikut kesesuaian masa secara fleksibel. 

Jelasnya, anak-anaknya turut membantu menyediakan kuih-muih sejuk beku, terutamanya menjelang musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha. 

“Sebelum ini, saya mempunyai perniagaan katering untuk pelbagai jenis majlis. 

“Kini, seiring peningkatan usia dan kemajuan perniagaan Kak Mah Frozen, saya tidak lagi mengambil kontrak katering.

“Secara beransur-ansur saya menyerahkan pengurusan perniagaan ini kepada anak saya. Semoga perniagaan ini terus maju pada masa depan,” katanya .

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN