fbpx

Mahkamah: Guan Eng mohon nota keterangan kes lain di Shah Alam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Guan Eng ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. Foto oleh Mohd. Firdaus Johari / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan dalam kes rasuah Lim Guan Eng mahukan nota keterangan satu prosiding berlainan di Mahkamah Sesyen Shah Alam bagi menyokong permohonan mendapatkan laporan forensik dua ahli perniagaan berhubung pemberian `Coklat RM2 juta’ yang didakwa untuk bekas Ketua Menteri Pulau Pinang.

Peguam Gobind Singh Deo memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, nota keterangan itu penting bagi menyokong permohonan pihak pembelaan untuk menentukan isu pemberian rasuah yang didakwa bukan untuk Guan Eng, sebaliknya untuk pihak ketiga.

Sehubungan itu, beliau memohon prosiding hari ini ditangguhkan bagi membolehkan pihak pembelaan mengakses nota keterangan tersebut terlebih dahulu yang dijangka diperolehi daripada Mahkamah Sesyen Shah Alam dalam tempoh dua minggu.

Hakim Azura Alwi kemudian menetapkan 1 Mac ini bagi mendengar permohonan pembelaan untuk mendapatkan laporan forensik perbualan WhatsApp di antara Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dan G. Gnanaraja berhubung pemberian wang RM2 juta yang didakwa untuk Guan Eng.

Permohonan bagi mendapatkan laporan forensik itu sepatutnya didengar hari ini.

Isu mengenai perbualan WhatsApp itu didedahkan pada perbicaraan lalu melalui keterangan pegawai penyiasat forensik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Penolong Penguasa Wan Mohd. Firdaus Wan Yusof.

Pihak pembelaan menyatakan ‘Coklat RM2 juta’ bukan untuk Guan Eng, 62, sebaliknya untuk ‘Big Boss’ yang dirujuk sebagai ‘Perdana Menteri ketika itu’.

Pada awal prosiding, Gobind memaklumkan, wang RM2 juta yang merupakan subjek pertuduhan terhadap Gnanaraja di Shah Alam, merupakan wang sama yang menjadi asas dalam pertuduhan terhadap Guan Eng.

Ujar beliau, pihak pendakwaan dalam kes Guan Eng bersandarkan kepada keterangan saksi pendakwaan ke-28, Azli Adam berhubung pembayaran baucar bertarikh 17 Ogos 2017 menerusi cek Public Bank bertarikh sama yang didakwa dibayar kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagaimanapun, keterangan saksi sama di Mahkamah Sesyen Shah Alam dalam kes Gnanaraja menyatakan, cek yang sama diserahkan kepada pihak ketiga untuk tujuan berbeza.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan pihaknya tiada bantahan terhadap penangguhan prosiding hari ini. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI