fbpx

Lesen sudah digital, tapi jalan masih berlubang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pihak berkuasa perlu agresif menurap jalan-jalan berlubang bagi mengelakkan lebih banyak kemalangan.

RAMAI yang bergembira selepas kerajaan mengumumkan pengenalan sistem lesen memandu dan lesen kenderaan (roadtax) secara digital berkuat kuasa minggu lalu.

Inisiatif itu antara lain bertujuan untuk mengatasi isu pelekat roadtax yang kerap rosak selain mengelak kesesakan ketika orang ramai berurusan di kaunter.

Walaupun ada yang kurang bersetuju dengan kaedah baharu itu, namun pembaharuan yang diperkenalkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sekurang-kurangnya telah memberi nilai tambah kepada sistem perkhidmatan dalam kerajaan.

Malah, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menjelaskan bahawa inisiatif digitalisasi oleh JPJ berkenaan membawa kepada penjimatan sebanyak RM96 juta setahun.

Sebagai rakyat, kita hanya berharap agar segala usaha yang diperkenalkan oleh kerajaan dapat memberi manfaat kepada seluruh rakyat, baik yang berada di kampung-kampung mahupun yang tinggal di bandar besar.

Paling penting, pengenalan sistem digitalisasi ini perlulah seiring dengan kualiti kemudahan dan infrastruktur yang ada di Malaysia.

Amat mengecewakan sebenarnya apabila jalan raya di negara khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman masih berada pada tahap mengecewakan.

Tidak perlu menyentuh soal jalan bertar ataupun berbatu kerana masih banyak jalan utama berada dalam keadaan rosak dan berlubang.

Isu timbul apabila jalan rosak dan berlubang ini gagal diselenggara sebaiknya sehingga akhirnya meragut nyawa rakyat yang tidak berdosa.

Lebih mengecewakan apabila pihak yang sepatutnya bertanggungjawab ke atas jalan rosak dan berlubang ini mengambil sikap sambil lewa.

Amanah yang diberikan untuk membaiki segala kerosakan di jalan raya seperti di pandang sebelah mata.

Di Selangor sahaja, statistik bagi tahun 2018 sehingga 2020 menyaksikan sebanyak 222 kemalangan direkodkan berpunca daripada keadaan fizikal jalan raya yang tidak sempurna. Bahkan daripada statistik itu, 148 kes adalah melibatkan kemalangan maut.

Sedihnya, sebanyak 116 mangsa yang maut itu merupakan penunggang dan pembonceng motosikal.

Statistik menakutkan itu membuatkan rakyat mula berfikir. Bagi mereka, tiada gunanya segala sistem digital yang diperkenalkan sekiranya jalan raya kita masih bermasalah.

Di akhirnya, bukan lesen atau roadtax digital yang menjadi keutamaan rakyat, tetapi lebih daripada itu adalah soal keselamatan nyawa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI