fbpx

RNF tidak kesal tinggalkan Yamaha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RNF menjalinkan kerjasama dengan Aprilia musim ini sekali gus menjadi pasukan satelit pertama pengeluar tersebut. – CRYPTODATA APRILIA RNF MOTOGP TEAM

TIADA perasaan kesal dalam diri Prinsipal RNF MotoGP Team, Datuk Razlan Razali selepas membuat keputusan meninggalkan pasukan Yamaha dan beralih menyertai pasukan Aprilia bagi mengharungi Kejuaraan Moto­sikal Dunia (MotoGP) musim ini.

Razlan yang bekerjasama de­ngan Yamaha sejak 2019 membuat keputusan berani apabila meninggalkan pasukan dari Jepun tersebut selepas hanya diberikan kontrak setahun sebelum memilih bersama Aprilia.

RNF diberikan perjanjian selama dua tahun dengan pilihan dua musim lagi sekali gus me­nyaksikan mereka menjadi pasukan satelit pertamanya pasukan itu dalam saingan MotoGP.

Bagi Razlan, 2023 adalah sesuatu baharu bagi mereka dan pasukannya kini lebih bersema­ngat untuk menghadapi cabaran MotoGP selepas diberi sokongan 100 peratus oleh Aprilia tanpa berbelah bagi.

“Saya tak menyesal tinggalkan Yamaha kerana pada waktu itu kami telah fikir masak-masak mengenai perjalanan pasukan RNF ini dalam saingan MotoGP. Hubungan kita dengan Aprilia berbeza jika ingin dibandingkan sewaktu kita bekerjasama de­ngan Yamaha sejak 2019.

“Perkara berbeza yang kita boleh lihat adalah melibatkan pembangunan jentera. Sebaik saya melangkah keluar dari Yamaha dan menyertai keluarga Aprilia ini, mereka tidak berselindung apa-apa, malah saya mengetahui proses pembangunan jentera Aprilia RS-GP dari awal hingga akhir.

“Saya dapat berjumpa dengan pakar-pakar pembangunan dan kami tahu siapa kami orang yang tepat untuk bercakap. Kami bertemu dengan jurutera enjin secara terus, kami bercakap de­ngan jurutera aerodinamik secara terus. Mereka memberi­tahu kami apa yang sepatutnya dilakukan. Jadi, ketelusan itu menakjubkan.

“Sewaktu bersama Yamaha kita tidak tahu apa yang mereka buat. Kita hanya berjumpa de­ngan Lin Jarvis (Pengarah Urusan Yamaha Motor Racing) dan juga beberapa individu tertinggi di Jepun yang tidak tahu apa-apa. Mereka (Aprilia) lebih telus dan tahu apa mereka buat untuk memastikan projek ini berjaya,” katanya.

Dalam pada itu, Razlan teruja selepas dua pelumbanya, Miguel Oliveira dan Raul Fernandez mula mendapatkan keserasian terbaik bersama jentera RS-GP selepas cemerlang pada ujian kedua di Sepang kelmarin.

“Perkara yang merisaukan saya adalah Ducati bukan Yamaha. Kita tahu Ducati mempunyai lapan jentera MotoGP dan Yamaha hanya dua sahaja. Jadi, kita tak bimbang dengan mereka.

“Perkara menggembirakan saya ialah Oliveira dan Fernandez mula mendapat keserasian bersama jentera baharu mereka. Kita tahu mereka berdepan ke­sukaran bersama pasukan lama (KTM).

“Apa yang boleh saya katakan pasukan juga mendapat bantuan penuh dari Aprilia terutama selepas kru Maverick Vinales iaitu ketua mekaniknya datang bantu Olivera sekali gus kita mempu­nyai barisan kru pengalaman.

“Jadi, saya harap kehadiran individu yang mempunyai pe­ngalaman membangunkan jentera RS-GP ini dapat membantu dua pelumba kita ini bersaing kelompok hadapan,” ujarnya.

Pada musim ini juga, Razlan menegaskan pasukannya akan menggunakan jentera RS-GP 2022 dengan bantuan pasukan kilang terutama komponen baharu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI