KOTA TINGGI – Suspek yang menembak mati tiga orang individu dalam kejadian di sebuah restoran di Taman Kota Jaya di sini disyaki berang selepas mangsa enggan melunaskan hutang peribadi.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, siasatan awal mendapati motif kejadian akibat hutang yang dibuat salah seorang mangsa kepada suspek yang juga pekebun buah-buahan itu melibatkan jumlah sebanyak RM50,000.
“Setakat ini, motif kejadian masih dalam siasatan. Bagaimanapun, siasatan awal tidak menemukan sebarang kaitan dengan unsur kongsi gelap atau keganasan.
“Polis tidak menolak kemungkinan kejadian berpunca daripada masalah hutang peribadi,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tiga individu termasuk seorang wanita warga Vietnam maut selepas ditembak dalam satu kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari. Mangsa terdiri daripada dua lelaki warga tempatan dan seorang wanita berusia antara 37 hingga 63 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tembakan senjata api.
Ab Rahaman berkata, suspek merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 71 tahun berjaya ditahan kira-kira pukul 2 petang, hanya sekitar 200 meter dari tempat kejadian.
“Polis turut merampas sepucuk senjata api jenis shotgun dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut,” katanya.- KOSMO! ONLINE














