fbpx
Gambar yang dimuat naik di Threads oleh Ainunaniyah memaparkan nota panduan penggunaan barangan keperluan harian untuk ibunya.

‘Mak, ini coklat untuk lapik perut tau’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kerisauan terhadap ibu yang tidak pernah berjauhan dan kurang mahir menggunakan teknologi mendorong 10 beradik menghasilkan nota-nota kreatif pada setiap barangan kelengkapan menunaikan haji.

Inisiatif itu dilakukan demi memudahkan urusan ibu mereka, Umi Kalsum Abd Rahiman, 68, yang berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan rukun Islam kelima itu pada hari ini.

Antara nota yang diletakkan termasuklah panduan penggunaan barangan keperluan harian serta label khusus pada setiap bungkusan makanan.
“Mak, ini coklat makan untuk lapik perut tau.

“Mak, dalam ini ada ubat-ubatan untuk mak tau. Semoga mak sihat selalu.

Menurut salah seorang anaknya, Ainun Aniyah Azeme, 27, keputusan meletakkan nota dan ‘sticker’ pada setiap beg serta bungkusan pakaian dibuat memandangkan ibu mereka sebelum ini sentiasa ditemani anak-anak setiap kali mengembara.

“Mak saya tak pernah berjauhan dengan anak-anak. Selalunya kalau melancong, anak-anak yang akan uruskan semuanya dari A sampai Z.

“Jadi bila kali ini mak kena pergi haji seorang diri tanpa teman, kami semua bimbang bagaimana keadaan mak di sana nanti. Itulah tercetusnya idea nota-nota itu, harapnya dapat membantu memudahkan urusan mak,” katanya.

Tambah Ainun, faktor usia dan kekangan dalam mengendalikan peranti pintar juga menjadi punca utama mereka menyediakan nota fizikal tersebut.

Mereka bimbang jika terdapat urusan yang memerlukan penggunaan telefon, ibunya mungkin mengalami kesulitan kerana tidak mahir dengan teknologi moden.

Namun, disebalik keterujaan dan persiapan rapi tersebut, terselit kisah hiba apabila perjalanan haji kali ini sepatutnya disertai oleh bapa mereka, Allahyarham Azeme.

Walau bagaimanapun, takdir mengatasi segalanya apabila bapa mereka dijemput Ilahi dua tahun lalu, sebelum sempat pasangan itu menunaikan ibadah haji bersama-sama.

“Sebenarnya perjalanan haji ini sepatutnya berdua dengan ayah. Tapi takdir Allah, ayah meninggal dunia dua tahun lepas.

“Jadi tahun ini mak berangkat sendirian bagi menunaikan hajat tersebut,” kongsi Ainun lagi.

Meskipun kelibat insan tersayang tidak lagi di sisi, doa anak-anak dan bekalan kasih sayang yang dititipkan menerusi setiap nota kecil itu menjadi peneman setia.

Semoga Umi Kalsum dapat menunaikan haji yang mabrur dan segala urusannya dipermudahkan di Tanah Suci, sekali gus melunaskan impian arwah suaminya yang belum kesampaian.

Terdahulu perkongsian Ainun di Threads mendapat reaksi ramai yang rata-ratanya terharu dan memuji kasih sayang adik-beradik tersebut dalam memastikan keselesaan dan keselamatan ibu mereka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN