fbpx

Malaysia Techlympics 2022 lakar sejarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Chang Lih Kang (empat dari kiri) dan Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hashim (lima dari kiri) bergambar selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada para penerima pada Majlis Aspresiasi Malaysia Techlympics 2022 di Bora Ombak, Putrajaya baru-baru ini.

PUTRAJAYA – Penganjuran Malaysia Techlympics 2022 yang bertujuan memupuk minat orang ramai dalam bidang sains dan teknologi berjaya melakar sejarah tersendiri apabila menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR) menerusi kategori ‘Penyertaan Pelajar Terbesar Dalam Pertandingan Sains, Teknologi dan Inovasi’ sempena Malaysia Techlympics 2022.

Pengiktirafan itu diberikan MBR kepada Malaysia Techlympics 2022 selepas berjaya menganjurkan program berkenaan pada tahun lalu dengan pendaftaran seramai 1.03 juta peserta daripada pelbagai latar belakang berusia antara tujuh hingga 30 tahun.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, Program Malaysia Techlympics 2022 Peringkat Akhir Kebangsaan yang berlangsung pada November lalu menyaksikan seramai 2,919 peserta seluruh negara bersaing dalam 32 pertandingan dipertandingkan.

“Kejayaan peserta, guru dan belia terlibat dinilai berdasarkan penyertaan terbanyak serta jumlah pingat emas yang berjaya dibawa pulang.

“Bagi Peringkat Akhir Kebangsaan, pasukan Kedah mencatatkan pendaftaran tertinggi iaitu sebanyak 338,383 penyertaan, manakala Pulau Pinang pula merangkul sebanyak tujuh pingat emas selain dinobatkan sebagai Kontinjen Terbaik,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Malaysia Techlympics 2022 di sini baru-baru ini.

CHANG LIH Kang (lima dari kiri) menerima sijil Malaysia Book Of Records daripada Edwin Yeh (empat dari kiri) melalui kategori Penyertaan Pelajar Terbesar Dalam Pertandingan Sains, Teknologi dan Inovasi sempena Malaysia Techlympics 2022 di Putrajaya baru-baru ini.

Dalam ucapan beliau, Lih Kang turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI) selaku agensi pelaksana Malaysia Techlympics 2022 atas komitmen tinggi ditampilkan dalam menjayakan program itu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, program berkenaan turut menerapkan nilai kebersamaan tinggi di mana menyaksikan sejumlah 47 penyertaan daripada kumpulan Orang Asli selain penglibatan 20 orang pelajar autism pada pertandingan peringkat akhir kebangsaan.

“Dalam pada itu, Malaysia Techlympics turut berjaya melahirkan inovator muda celik STI serta berkebolehan menghasilkan solusi, aplikasi dan produk berteknologi untuk masyarakat.

“Daripada segi penciptaan idea pula, sejumlah 1,200 idea berpotensi telah dikumpulkan untuk dikenal pasti bagi dimajukan ke peringkat seterusnya.

“Kementerian juga akan terus menyokong semua inovator dan inventor muda untuk mengambil langkah dalam mengembangkan penciptaan idea mereka,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI, Dzuleira Abu Bakar menjelaskan, pihaknya begitu berbangga dapat bersama-sama menjayakan aktiviti STI sekali gus memberi peluang kepada bakat-bakat muda Malaysia mengukuhkan pemikiran dan kemahiran inovatif serta kreatif.

“Untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi menjelang 2030, kerajaan telah memberi tumpuan untuk memperkasakan bakat dalam STI dengan membangunkan penyelidikan eksperimen.

“Ia bagi memastikan bakat dan pakar dihasilkan seterusnya berupaya mencapai nisbah sasaran 130 bakat dan pakar untuk setiap 10,000 pekerja menjelang 2025.

“Inisiatif Malaysia Techlympics itu adalah tepat pada masanya kerana menyediakan platform untuk generasi muda melibatkan diri dengan sains, teknologi dan inovasi dalam persekitaran yang menyeronokkan, kolaboratif serta berdaya saing,” jelasnya.

Chang Lih Kang menyampaikan sijil penghargaan kepada Dzuleira Abu Bakar (tengah).

 

Dzuleira berkata, MRANTI turut menyediakan MakersLab terletak di MRANTI Park Bukit Jalil bagi menyediakan kemudahan fizikal dan kepakaran prototaip, ujian, penskalaan peringkat awal selain pameran inovasi.

Jelasnya, MRANTI MakersLab merupakan pusat komuniti inovator berkumpul, berkongsi idea serta menjalankan eksperimen bagi meningkatkan penciptaan dan inovasi tempatan.

“Pusat pembelajaran dan pembangunan itu sesuai untuk inovator pelbagai peringkat usia melahirkan idea dalam satu ruang khusus.

“MakersLab menyediakan pelbagai mesin termasuk mesin cetak 3D dan membolehkan pelajar kita memanfaatkan peralatan, perkakas, ruang dan pengetahuan tersedia untuk menghasilkan prototaip penyelesaian masing-masing dengan kadar pantas,” katanya.

Susulan itu, beliau turut menjemput guru dan pelajar berminat untuk melawat MakersLab seterusnya dapat merasai peluang berinovasi bersama inovator dan komuniti kreatif yang lain. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI