CAPE TOWN – Sebuah rakaman video tular memaparkan detik cemas bangkai seekor buaya gergasi dipindahkan dari sungai dipenuhi reptilia itu dengan menggunakan helikopter, lapor akhbar The Sun UK.
Kejadian berlaku di sebuah kawasan paya bakau dekat Taman Negara Kruger, Afrika Selatan, baru-baru ini.
Komander pasukan menyelam polis tempatan, Kapten Johan ‘Pottie’ Potgieter melaksanakan tugas tersebut dengan cara turun ke sungai menggunakan tali yang tergantung pada sebuah helikopter.
“Terdapat dua ekor buaya berdekatan sedang memerhatikan ketika saya menyarungkan abah-abah pada bangkai buaya itu dan mengikatnya di bawah kaki hadapan serta mengetatkan tali,” katanya.
Potgieter dan buaya yang ditembak mati terlebih dahulu itu diterbangkan ke zon pendaratan sebelum reptilia tersebut dibelah untuk melihat isi perutnya.
Nekropsi lapangan yang dilakukan membawa kepada penemuan dua lengan manusia yang terputus dengan tangan masih melekat, separuh sangkar rusuk dan daging dada.
Sebentuk cincin dipercayai milik ahli perniagaan yang hilang, Gabriel Batista, 59, juga ditemui pada salah satu jari mayat mangsa.
Pemeriksaan asid deoksiribonukleik (DNA) untuk mengesahkan identiti mayat sedang dijalankan. – AGENSI














