KEKECEWAAN di Piala Thomas 2026 tidak mematahkan semangat pemain beregu lelaki utama, Aaron Chia, sebaliknya menjadi pencetus untuk bangkit lebih kuat menjelang kejohanan-kejohanan besar selepas ini.
Skuad lelaki negara menamatkan cabaran di Horsens, Denmark selepas tewas 0-3 kepada juara 11 kali, China dalam aksi suku akhir, sekali gus menguburkan impian melangkah lebih jauh.
Lebih mengecewakan, gandingan utama Aaron bersama Soh Wooi Yik yang diharapkan menyumbang mata gagal menunaikan tugas apabila tewas kepada pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang.
Bagaimanapun, Aaron yang turun ke pentas Piala Thomas selaku kapten pasukan tetap melihat kempen kali ini dari sudut positif apabila menegaskan seluruh pasukan telah memberikan komitmen penuh sepanjang kejohanan.
“Saya rasa semua sebagai satu pasukan sudah memberikan yang terbaik walaupun kita tidak berjaya mara ke separuh akhir atau final. Saya rasa keseluruhan pasukan memang sudah beri yang terbaik,” katanya.
Mengulas cabaran berdepan pasukan elit dunia, Aaron mengakui Malaysia bukan pilihan utama di atas kertas, namun itu bukan alasan untuk tidak berjuang habis-habisan di dalam gelanggang.
“Saya rasa memang kalau tengok di atas kertas mungkin pasukan kita tidak sekuat pasukan lain seperti India, China atau Taiwan. Tetapi bila masuk gelanggang, tak kisah kita ketinggalan 0-1 atau 0-2, kita tetap beri yang terbaik,” ujarnya.
Sebagai kapten, Aaron menegaskan fokus kini terarah kepada usaha memperbaiki kelemahan dengan kerja keras dan perancangan lebih rapi bersama barisan kejurulatihan.
“Sekarang yang penting setiap pemain perlu bekerja lebih keras untuk Sukan Asia atau mana-mana kejohanan akan datang. Kita ada banyak lagi kejohanan, jadi yang penting kerja keras dan bincang dengan jurulatih apa yang boleh diperbaiki,” katanya.
Dalam masa sama, Aaron tidak melihat kekalahan tersebut sebagai titik akhir, sebaliknya percaya skuad negara mampu kembali mencabar dengan pendekatan yang lebih tersusun.














