fbpx

KKM larang penjualan dua produk kosmetik kandungi merkuri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua produk kosmetik yang dilarang penjualannya selepas dikesan mengandungi merkuri. - Foto IHSAN KKM

PUTRAJAYA – Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan dua jenis produk kosmetik yang telah dikesan mengandungi racun berjadual.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dua produk tersebut adalah Karisma Turmeric Booster Cream dan Flashhskinzz Treatment Cream yang dikesan mengandungi merkuri.

“Susulan daripada itu, notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

“Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan. Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Dr. Noor Hisham, merkuri juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan selain boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.

“Penjualan serta pengedaran produk-produk kosmetik tersebut perlu dihentikan dengan serta-merta dan penjualan juga pengedaran produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu yang ingkar boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” tegas beliau.

Mengulas lanjut, Dr. Noor Hisham turut menasihatkan orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik ini segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

“Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman web rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI