fbpx

Lelaki Bangladesh diburu langgar lari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kereta dan motosikal mangsa di Jalan Teluk Piah Kanan, Kuala Selangor.

KUALA SELANGOR – Polis memburu seorang lelaki warga Bangladesh yang melarikan diri selepas dipercayai melanggar penunggang motosikal dalam kemalangan maut di Jalan Teluk Piah Kanan di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu melibatkan sebuah kereta Proton Waja dan motosikal Honda EX5 ditunggang lelaki tempatan berusia 33 tahun.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang bersendirian sedang menuju ke Bukit Rotan sebelum dilanggar kereta warga Bangladesh itu dari arah belakang.

Katanya, impak pelanggaran itu mengakibatkan penunggang motosikal tercampak ke atas jalan.

“Pemandu itu kemudian dipercayai bertindak keluar daripada kereta dan terus melarikan diri.

“Mangsa yang parah kemudian dibawa ke Hospital Tajong Karang bagi mendapatkan rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 11 pagi hari sama,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas beliau, hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kecederaan pada otak akibat kemalangan itu.

Tambah Ramli, pihaknya telah melakukan pencarian pemandu itu di sekitar kawasan Kuala Selangor dan Jeram namun belum menemuinya.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhamad Najmi Abd. Rahman di talian 017-8028105 atau balai polis berdekatan,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI