fbpx

Ibu bapa suka mendera perlu sokongan mental

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
NURUL IZZATI ZAINI
Wartawan Eksekutif

KES penderaan kanak-kanak di Malaysia bukanlah perkara baharu, malah semakin hari semakin meningkat dan tidak terkawal.

Banyak kisah menyayat hati melibatkan insan tidak berdosa diperlakukan tanpa hak yang sepatutnya sehingga meragut masa depan cerah mereka.

Sejak Januari hingga Jun tahun lepas, sebanyak 1,055 kes penderaan kanak-kanak direkodkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara.

Daripada jumlah tersebut, JKM berkata, sebanyak 578 kes membabitkan penderaan fizikal, 417 kes penderaan seksual dan 60 kes adalah penderaan emosi di mana 706 kes membabitkan kanak-kanak perempuan, manakala 349 kes adalah kanak-kanak lelaki.

Presiden Persatuan Keseda­ran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA), Anita Abu Bakar berkata, ibu bapa yang terlibat dalam penderaan dan pengabai­an anak-anak perlu mendapatkan bantuan dan sokongan mental dengan segera bagi mengelak kejadian malang itu berlaku lagi.

Jelasnya, ibu bapa atau mana-mana individu yang melakukan penderaan mungkin berada dalam keadaan tertekan dan memerlukan bantuan serta pertolongan.

“Penting untuk ibu bapa yang tertekan untuk bercakap dengan seseorang, luahkan dan dapatkan bantuan.

“Bila terperangkap dalam keadaan begitu dan sudah tidak tahu bagaimana ingin keluar, mereka akan rasa terlalu marah, dan lepaskan pada anak-anak.

“Ada yang kita jumpa ibu bapa yang menyesal kerana bertindak sedemikian, tetapi semuanya sudah terlambat sehingga berlakunya beberapa kes pende­raan yang meragut nyawa kanak-kanak tidak berdosa,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Tambah Anita lagi, penting untuk masyarakat mempunyai satu sistem sokongan yang ampuh supaya mereka yang bermasalah dapat dibantu sewajarnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang meninggal dunia diakibat didera dalam satu kejadian di Senggarang, Batu Pahat, Johor Bahru pada Disember tahun lepas.

Lebih teruk lagi, pada bulan yang sama, seorang bapa bertindak kejam dengan mendera anaknya sehingga maut sebelum menanam mayat mangsa di tepi jalan di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Anita turut menyeru orang ramai yang ingin mendapatkan bantuan berkaitan kesihatan mental untuk datang ke MIASA sendiri.

Di samping meringankan beban sistem kesihatan di Malaysia, MIASA juga menyediakan perkhid­matan untuk mereka yang bertarung dengan penyakit mental bagi mendapatkan bantuan dengan lebih cepat.

“Rawatan dan perkhidmatan kami di MIASA adalah percuma untuk golongan B40. Boleh juga datang ke Alaminda Healthcare Berhad untuk bertemu dengan pakar.

“Bagi golongan M40 dan ke atas, boleh juga datang ke MIASA kerana bayaran yang anda berikan pada kami akan membantu usaha dalam memberikan perkhidmatan kepada golongan yang lebih memerlukan,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI