fbpx

Konsert ST12, ruang Restu Van Houten serlah bakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RESTU Van Houten berbangga dapat berkongsi pentas dengan ST12 menerusi Konsert ST12 Reunion - 20 Tahun Charly Berkarya di Axiata Arena pada 11 Mac depan.

BIARPUN kariernya masih setahun jagung, penyanyi muda dari seberang, Restu Van Houten bertuah kerana diberi penghormatan untuk turut sama beraksi pada Konsert ST12 Reunion – 20 Tahun Charly Berkarya bertempat di Axiata Arena pada 11 Mac depan.

Bagi yang mungkin kurang mengenali, Restu merupakan anak kepada vokalis Setia Band, Charly Van Houten dan Shinta Regina.

Pada pentas tersebut, dia akan beraksi bersama Firman Siagian serta dua penyanyi tempatan, Ezad Lazim dan Jaclyn Victor.

Mengikut jejak langkah bapanya dalam industri seni, Restu memandang peluang terbabit dalam konsert tersebut sebagai ruang untuknya memperkenalkan bakat di negara ini.

“Saya berharap karya dapat dinikmati dan diterima penggemar muzik di Malaysia. Ini ruang terbaik untuk saya buktikan bakat.

“Ayah sering kata, saya harus menjadi anak lelaki yang bertanggungjawab dan tetap fokus dalam yang diusahakan. Itu yang saya akan buktikan pada konsert itu kelak,” katanya.

RESTU VAN HOUTEN

Dilahirkan pada 24 September 2005, Restu sering melihat ayahnya menyanyi dan berkarya, malah kerap menemani bekas vokalis ST12 itu ke konsert.

Pun begitu, tidak sedikit pun statusnya sebagai anak penyanyi terkenal digunakan Restu untuk menumpang populariti bapanya, sebaliknya dia lebih selesa berdikari sendiri.

“Membesar dalam lingkungan pemuzik membuatkan darah seni turut mengalir dalam diri. Namun ayah tidak pernah memaksa saya mengikut jejak langkahnya.

“Cuma saya akhirnya membuat pilihan bergerak sebagai pemuzik secara profesional. Ini pilihan sendiri, tiada paksaan daripada sesiapa,” ujar penyanyi berusia 17 tahun itu.

Menyifatkan muzik sebagai wadah untuk berkarya, penyanyi lagu Saranghaeyo itu bersyukur kerana sokongan keluarga membuatkan dia semakin yakin meneruskan langkah sebagai anak seni.

Akui Restu, dia bersyukur kerana dipermudahkan untuk menentukan arah serta haluan sebagai pemuzik biarpun ada ketika disebabkan menjadi anak kepada Charly, situasi itu membuatkan dia sedikit terbeban.

“Saya tidak dapat lari daripada dibayangi ayah. Itu fakta kerana Charly adalah bapa saya. Apa yang saya mampu lakukan adalah buktikan kemampuan dan berdiri atas kekuatan bakat sendiri.

“Saya yakin dengan bakat yang saya ada. Alhamdulillah, awal perjalanan bermula lancar, tetapi itu belum membuatkan saya puas dengan apa yang telah dicapai,” ujarnya lagi.

Tiket Konsert ST12 Reunion – 20 Tahun Charly Berkarya dijual pada harga RM99, RM152, RM252 dan RM282 boleh didapati menerusi laman web www.ticket2u.com.my. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI