fbpx

Harga petrol di AS dijangka melonjak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemandu mengisi minyak petrol di sebuah stesen minyak di Alhambra, California pada 19 Oktober 2022. - AFP

WASHINGTON – Data persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang dikeluarkan kelmarin mendedahkan jumlah keseluruhan permintaan untuk produk petroleum ditapis termasuk minyak petrol berkurang berbanding tahun sebelumnya di samping pengeluaran yang turut merosot.

Menurut laporan agensi berita United Press International (UPI), ia sekali gus memberi isyarat kepada kenaikan harga di peringkat runcit.

Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA) melaporkan bahawa jumlah keseluruhan produk petroleum ditapis yang dibekalkan kepada pasaran secara purata adalah 18.9 juta tong sehari dalam tempoh tujuh hari berakhir 20 Januari lalu. Ia merosot 11 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Data dari minggu yang sama pada 2020 semasa pandemik Covid-19 menunjukkan jumlah produk petroleum yang dibekalkan ke pasaran adalah hampir 20.5 juta tong sehari.

Penambahbaikan dalam kecekapan tenaga dan pivot secara beransur-ansur daripada bahan api fosil menjelaskan mengapa penurunan itu boleh berlaku namun, tekanan inflasi dan kenaikan harga petrol juga mungkin menyekat permintaannya.

Dalam masa sama, harga minyak mentah West Texas Intermediate yang merupakan penanda aras bagi AS, tidak banyak berubah sejak awal tahun ini walaupun julat semasa pada AS$80 (RM340) setong adalah yang tertinggi sejak November tahun lalu.

Harga runcit petrol juga meningkat dan data terkini menunjukkan trend itu mungkin berterusan.

Data EIA menunjukkan kilang penapisan di AS beroperasi pada kira-kira 80 peratus daripada kapasiti puncaknya semasa tempoh dilaporkan.

Ia seterusnya membawa kepada penurunan kecil dalam pengeluaran petrol, daripada 8.9 juta tong sehari pada minggu sebelumnya kepada 8.8 juta tong sehari.

Pada minggu lepas, kilang-kilang penapisan minyak beroperasi pada 85 peratus daripada kapasiti maksimum dan situasi mungkin boleh berubah menjadi lebih teruk dalam beberapa bulan akan datang apabila ia memasuki tempoh penyelenggaraan bermusim.

Penurunan selanjutnya dalam aktiviti penapisan akan mengehadkan pengeluaran masa depan dan bakal memacu harga lebih tinggi ekoran tekanan dari segi bekalan. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI