fbpx

Bella digigit Balqis, saya tidak pernah pijak, tendang – Siti Bainun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Bainun ketika hadir di Mahkamah Sesyen di sini hari ini. - FOTO/ SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali berkata kesan gigitan pada perut remaja sindrom Down Bella adalah berpunca dari pergaduhan antara Bella dengan seorang bekas penghuni Rumah Bonda yang dikenali sebagai Balqis.

Menurut Siti Bainun, pertelingkahan dan kejadian gigitan itu berlaku selepas Bella dikatakan memakai pencuci muka milik Balqis.

“Lepas Bella pakai (pencuci muka) mereka berlari berkejaran satu rumah dan kemudian masing-masing gigit-menggigit antara satu sama lain. Saya letak minyak gamat dan krim.

“Saya sudah marah kedua-duanya seperti mana ibu bapa lain menegur anak-anak bila bergaduh. Saya pun tidak faham kenapa Bella dan Balqis ni tidak boleh sesuaikan diri bersama. Peguam saya sendiri ada tanya pada Bella pasal pergaduhan dan Bella sendiri pun setuju ada gaduh dengan Balqis,” katanya sambil menyifatkan hubungan Bella dan Balqis ibarat
‘love hate relationship’.

Siti Bainun berkata demikian ketika membaca pernyataan bela diri pada hari kedua tanpa peguam atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella.

Pada April tahun lalu, saksi pendakwaan kelima yang juga bekas penghuni Rumah Bonda Yasmin Nahar Mahmood dalam keteranganya memberitahu dia diarah oleh Siti Bainun supaya menggigit perut Bella.

Yasmin berkata, dia bertindak sedemikian kerana Bella tidak mengikut arahan Siti Bainun supaya berdiri di bahagian dobi (laundry).

Kata saksi itu tindakan Bella yang enggan mengikut arahan telah menyebabkan Siti Bainun geram dan telah mengarahkan saksi itu mengambil picagari berisi air panas, selain mengarahkan saksi itu menggigit perut Bella.

Sementara itu, berhubung dengan layanannya terhadap Yasmin yang dikatakan seperti hamba abdi, Siti Bainun berkata dia tidak tahu dari mana datangnya ‘hamba abdi’ tersebut seperti yang didakwa.

“Saya pasti cerita ‘hamba abdi’ ini hendak bagi mahkamah percaya karakter saya (buruk) dan untuk mempengaruhi orang ramai serta menjadi satu cerita sedap di media sosial,” katanya.

Siti Bainun menambah apa yang dikatakan Yasmin tidak benar apabila dalam diari Yasmin sendiri menunjukkan dia dan adik-adiknya dilayan dengan baik seperti keluarga dan wanita itu menyayangi mereka.

“Bermewah-mewah tidak. Kami hidup sederhana sahaja. Kalau ada duit lebih saya belikan mereka (penghuni Rumah Bonda) makanan yang mereka mahu. Saya juga belikan anak-anak (penghuni Rumah Bonda) saya barang kemas jika ada wang tambahan, termasuklah untuk Yasmin,” ujarnya.

Sementara itu, berhubung dengan kecederaan pada Bella, Siti Bainun berkata, hasil pemeriksaan oleh saksi pendakwaan kedua, yang merupakan seorang doktor terhadap paru-paru, abdomen dan kaki Bella mendapati ia menunjukkan keputusan normal.

“Bella ini memang sangat-sangat sihat. Dia tidak ada sakit asma atau apa-apa sakit. Dapatan ini menunjukkan saya tidak pernah memijak perut, menendang perut, menyuruh berdiri lama dan apa jua jenis penderaan yang direka-reka saksi-saksi tidak pernah berlaku,” katanya lagi.

Siti Bainun turut memberitahu sekiranya benar dia berniat untuk mencederakan Bella, tidak mungkin dia akan cuba menyembuhkan Bella.

“Tiada keperluan untuk saya bertanya kepada ahli farmasi ubat-ubatan yang sesuai untuk merawatnya dan juga menghabiskan wang ringgit bagi membeli segala keperluan dan ubat yang terbaik serta sesuai seperti dicadangkan oleh ahli farmasi,” katanya lagi.

Perbicaraan bela diri di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi bersambung lagi 20 Februari ini dan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas.

Mengikut pertuduhan, Siti Bainun, 31, didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI