PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju menurunkan harga diesel bersubsidi untuk rakyat Malaysia kepada RM2.10 seliter mulai bulan depan.
Kementerian Kewangan berkata, penurunan harga itu akan dilaksanakan menerusi pembaharuan penyasaran subsidi diesel
secara seragam di seluruh negara menggunakan mekanisme berasaskan MyKad selaras dengan pendekatan yang telah dilaksanakan melalui Budi Madani RON95.
“Melalui pembaharuan ini, rakyat Malaysia akan menikmati harga yang sama dan cara yang sama di seluruh negara. Subsidi diesel akan disalurkan terus kepada rakyat Malaysia melalui pengesahan MyKad, manakala bukan warganegara dan pihak yang tidak layak perlu membeli diesel pada harga tanpa subsidi,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Kementerian Kewangan berkata, dalam keadaan krisis Asia Barat yang terus memberi tekanan kepada bekalan minyak global, langkah ini penting bagi memastikan subsidi hanya sampai kepada rakyat Malaysia serta mengurangkan ketirisan dan penyeludupan diesel bersubsidi.
“Perbezaan ketara antara harga diesel bersubsidi dan harga tanpa subsidi telah mewujudkan ruang kepada ketirisan serta penyeludupan diesel bersubsidi termasuk ke luar negara.
“Ketika ini, diesel masih dijual pada harga runcit bersubsidi RM2.15 seliter di semua stesen minyak Sabah dan Sarawak, berbanding harga runcit diesel tanpa subsidi RM4.37 seliter di Semenanjung Malaysia,” katanya.
Dengan pembaharuan penyasaran subsidi diesel, harga runcit diesel di Sabah dan Sarawak akan diselaraskan kepada harga runcit di Semenanjung Malaysia.
“Pada masa yang sama, rakyat di Sabah dan Sarawak dengan kenderaan diesel akan menikmati pengurangan harga runcit daripada RM2.15 seliter kepada RM2.10 seliter.
“Maklumat lanjut mengenai pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel ini akan diumumkan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan esok,” katanya. – KOSMO! ONLINE














