fbpx
Seramai 54 PATI didakwa atas pelbagai kesalahan melibatkan imigresen di Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini.

54 PATI dipenjara, denda hingga RM10,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASIR MAS – Seramai 54 pendatang asing tanpa izin (PATI) masing-masing dijel sebulan hingga tiga bulan dan denda RM1,000 hingga RM10,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Kesemua tertuduh yang berusia dalam lingkungan 19 hingga 56 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa dalam bahasa Myanmar, Melayu, Kemboja dan Thailand selama kira-kira 30 minit di depan Hakim Zulkipli Abdullah.

Kesemua PATI itu terdiri daripada seramai 33 orang warga Myanmar, Indonesia (12), Kemboja (5) dan Thailand (4).

Mengikut pertuduhan, 38 PATI didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki atau berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.

Seramai 10 lagi tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di negara ini serta dua daripada mereka didakwa mengikut Seksyen 56(1)(l) akta sama.

Sementara itu, empat PATI dituduh mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas atau permit yang dikeluarkan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Malaysia, Siti Khadijah Khairuddin manakala hanya dua tertuduh diwakili peguam, Nik Mohamad Naqib Mohamad Noor.

Kesemua PATI tidak membayar denda yang ditetapkan oleh mahkamah.

Terdahulu, 54 PATI dicekup dalam operasi berasingan yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia pada 8, 11 dan 13 Jun lalu di beberapa lokasi sekitar Kota Bharu, Bachok, Kuala Krai serta Pasir Mas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN