fbpx

MOTAC terus desak prosedur pemeriksaan di KLIA dipercepat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SEPANG – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengulangi desakan supaya isu prosedur pemeriksaan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 diatasi segera.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, isu berkenaan perlu diselesaikan dengan kadar segera bagi mengelak imej Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tercalar.

Beliau berkata, ketibaan pelancong ke negara ini yang ‘disambut’ dengan perlu beratur selama dua jam untuk pemeriksaan imigresen, amat tidak masuk akal.

“Kami terima banyak aduan daripada pelancong yang tiba di KLIA yang terpaksa beratur berjam-jam untuk pemeriksaan.

“Saya meninjau sendiri situasi itu semalam dan mendapati barisan yang beratur untuk melalui pemeriksaan imigresen masih panjang,” katanya menerusi kenyataan akhbar, hari ini.

Katanya, beliau mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyelesaikan isu ketidakcekapan itu yang menyebabkan pintu masuk tersekat serta mengganggu laluan akibat terlalu ramai pelancong yang beratur.

King Sing berkata, jika Malaysia ingin mengalu-alukan kedatangan pelancong dan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan yang berdaya saing, masalah itu perlu diselesaikan segera.

Menurutnya, kelewatan pemeriksaan imigresen di KLIA ini secara tidak langsung menunjukkan sistem atau prosedur yang digunakan oleh jabatan yang berkaitan agak lapuk dan ketinggalan zaman.

“Pembukaan kaunter satu barisan dilihat tidak kompeten, ketinggalan zaman dan membazirkan ruang berbanding dua barisan.

“Purata dua hingga tiga minit untuk melengkapkan pelepasan imigresen dianggap sangat tidak cekap berbanding 30 saat yang diperlukan oleh sistem pelepasan yang lain,” katanya.

“Sistem pengecaman wajah yang digunakan oleh Jabatan Imigresen juga perlu diperluas kepada semua pelawat antarabangsa, bukan sahaja terhad kepada mereka yang mempunyai pas jangka panjang bagi memudahkan proses pelepasan,” katanya.

Katanya, penguasaan dalam pelbagai bahasa juga harus menjadi pertimbangan pihak berkuasa kerana tidak semua semua pelancong asing mahir berbahasa Inggeris.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI