fbpx
Roslan yang berniaga air balang di Jalan Melaka di Kuala Lumpur semalam.

‘Kalau hujan, nak dapat 50 cawan pun susah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Penjaja di sekitar Lembah Klang mengakui perniagaan mereka terjejas berikutan musim hujan yang melanda ibu negara dan Selangor sejak beberapa bulan ini.

Rata-rata mereka menyatakan kehadiran pelanggan berkura­ngan secara drastik memandang­kan waktu puncak perniagaan mereka sering ‘bertembung’ de­ngan hujan lebat.

Seorang peniaga di Jalan Me­laka, Roslan Marwan, 39, berkata, pendapatannya merosot sehingga 50 peratus pada musim hujan ini kerana kekurangan pelanggan.

“Biasanya dalam sebulan saya boleh mendapat untung bersih RM4,000 ke RM5,000, tetapi sejak musim hujan nak dapat RM2,000 pun susah. Perbezaannya sangat jauh sebab tak ramai orang datang.

“Kadang-kadang tak balik modal, tetapi saya reda. Dalam seminggu ada dua hari tidak hujan, bolehlah buat pusingan mo­dal balik,” katanya kepada ­Kosmo! semalam.

Tambah Roslan, dia terpaksa bertahan dengan kaedah jualan sedia ada dan air terpaksa dibuang jika tidak ramai pelanggan yang datang membelinya.

Bagi peniaga air balang, No­rull Kamarullhaji Ahmad, 49, yang berniaga selama 30 tahun pula berkata, waktu operasi yang singkat menyebabkan dia sangat bergantung kepada cuaca pada waktu tengah hari.

“Kita akan berniaga waktu pekerja rehat, kalau hujan memang tiada orang lalu. Jika hujan berterusan, kami tiada pilihan selain bawa balik barangan jualan,” ujarnya.

Norull berkata, bagi menampung kerugian musim hujan, dia akan mengurangkan kuantiti jualan berbanding pada hari biasa.

Sementara itu, seorang peniaga, Muhammad Anwar Anad Syafie, 40, di Jalan Bunga Kertas, Rawang, turut merasai impak yang sama.

“Jika cuaca panas biasa, saya boleh menjual sehingga 150 cawan, tetapi kalau hujan, nak dapat 50 cawan pun susah.

“Jadi kalau cuaca sudah gelap sejak pagi, saya akan kurangkan stok berbanding hari biasa bagi mengelakkan pembaziran,” katanya.

Seorang lagi peniaga yang mahu dikenali sebagai Nasrul berkata, situasi hujan lebat se­ring memaksanya menghentikan operasi seketika.

“Kalau hujan lebat sangat, kami terpaksa tutup gerai sekejap kerana memang tiada pelanggan. Walaupun rezeki ada, namun keuntungan memang akan berkurangan.

“Bagi mengelakkan kerugian, buah jambu yang tidak habis dijual tidak akan dibuang, sebalik­nya akan diproses untuk dijadikan air jambu,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN