fbpx
Gewang jenis minnow saiz dan warna seperti ini (kiri) sentiasa menjadi di Sungai Merbok.

Gempur sarang dua ‘samseng’ Sungai Merbok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sungai Merbok di Kedah ini sering menjadi sebutan dalam kalangan kaki pancing muara kerana potensinya. Jika kena pada hari yang bertuah, pasti pemancing dapat merasa pertarungan dengan dua ‘samseng’ muara ini.

Sungai Merbok tidak pernah sunyi dengan tangkapan ikan siakap putih dan siakap merah, cuma lokasi ini jarang sekali diketengahkan di media.

Kedua-dua jenis ikan yang dianggap sebagai ‘samseng’ muara ini mempunyai karakter berbeza, tetapi berkongsi satu sifat iaitu agresif dan penuh muslihat.

Siakap putih terkenal dengan sambaran yang kadangkala ‘gentle’ (lembut) tetapi diikuti bersama renangan padu dan disusuli aksi akrobatik.

Ia sering bermain di kawasan berarus perlahan dan gemar menunggu mangsa di kawasan strategik yang bereba.

Sebaliknya, siakap merah pula lebih ganas dan rakus. Sambaran yang selalunya kasar dan benaman mengejut ke arah reba menjadikannya lawan yang sukar dijinakkan jika ia berada di perairan liar.

Menariknya di Sungai Merbok, kedua-dua spesies ini boleh ditemui sepanjang tahun. Tiada musim tertentu yang benar-benar menjadi penentu.

Ini menjadikan lokasi itu sangat sesuai bagi pemancing yang ingin mencuba nasib tanpa perlu menunggu ‘peak season’ seperti di sesetengah estuari lain.

Membaca struktur

Di Sungai Merbok, struktur seperti batu, reba kayu dan pokok tumbang menjadi ‘sarang’ kepada siakap putih serta siakap merah.

Kawasan sebegini bukan sahaja menawarkan perlindungan kepada kedua-dua spesies ikan pemangsa ini, tetapi menjadi kubu kebal untuk ia memburu mangsanya.

Pokok tumbang ke dalam sungai mencipta bayang-bayang dan aliran air unik. Di sinilah anak ikan berlindung dan ikan-ikan pemangsa ini mengendap.

Bagi pemancing, lontaran gewang tepat ke celah-celah struktur-struktur ini adalah sesuatu
yang amat kritikal.

Keadaan di pengkalan tempat bot sewa disimpan.

Silap sedikit, gewang tersangkut, namun jika tepat pada sasaran, peluang untuk mendapat sambaran akan terbuka luas.

Tidak kurang juga kawasan berbatu di laluan arus.

Kedua-dua jenis siakap ini gemar menunggu di belakang batu, menggunakan arus sebagai kelebihan untuk menyerang mangsa yang melepasi zon buruannya.

Teknik

Dua teknik utama yang sering digunakan di sini adalah menyeret umpan udang dan mengilat gewang.

Teknik menyeret umpan udang boleh dianggap sebagai satu pendekatan klasik.

Umpan udang hidup akan dikarau (seret) secara perlahan di dasar atau pertengahan air.

Teknik ini sering menjadi pilihan apabila ikan kurang aktif. Ia me-
merlukan kawalan bot yang baik serta kepekaan pemancing terhadap apa-apa getuan, walau sehalus mana pun.

Namun bagi kaki mengilat, me­lontar dengan tepat dan memainkan gewang adalah kemahiran sebenar yang diperlukan.

Pelbagai jenis gewang daripada jenis minnow selaman cetek hingga ke selaman dalam selalu diguna pakai di sini, bergantung kepada keadaan air dan bentuk struktur yang menjadi sasaran.

Apa yang penting adalah cara persembahan.

Siakap putih saiz besar turut menghuni Sungai Merbok, dan sentiasa menjadi idaman pemancing yang berkunjung ke sana.

Kebiasaannya, mengarau perlahan gewang diikuti dengan rentapan pendek-pendek secara pantas (jerk) sering menjadi pencetus sambaran ikan.

Paling memeranjatkan apabila ikan menyambar di hadapan mata berhampiran dengan bot.

Ia menjadi satu momen yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Set-up yang sesuai untuk Sungai Merbok adalah joran berkekuatan 8-16 atau 10-20 paun (lb).

Ia digandingkan dengan kekili yang dapat memuatkan tali utama braided minimum 30lb, manakala leader pula sekurang-kurangnya 40lb.

Ini penting kerana perlawanan sering berlaku berhampiran struktur. Sedikit kecuaian boleh menyebabkan tali bergesel dan putus.

Apa yang menjadikan Sungai Merbok unik bukanlah kewujudan dua spesies ikan pemangsa yang popular ini tetapi cabarannya.

Air yang berubah mengikut keadaan pasang surut, arus tidak menentu serta struktur berjeragat di dalam air menjadikan setiap trip satu pengalaman berbeza.

Ada hari yang ikan dicari seolah-olah ‘hilang’. Lontaran demi lontaran umpan dan gewang tidak membuahkan hasil.

Hentaman ikan siakap merah terhadap gewang atau umpan sentiasa memeranjatkan pemancing yang tidak bersedia.

Namun, itulah seni memancing apabila kesabaran menjadi kunci kepada setianya kepada hobi ini tanpa rasa ralat.

Apabila sambaran yang ditunggu akhirnya berlaku, segala penat lelah berbayar dengan satu detik tidak ternilai.

Akses dan kos

Satu lagi kelebihan Sungai Merbok adalah akses yang mudah dan kos trip berpatutan.

Berbanding lokasi-lokasi lain yang memerlukan perjalanan jauh dengan kos tinggi, di sini peman­cing boleh merasai pengalaman memburu siakap liar tanpa perlu berbelanja besar.

Bagi yang pertama kali ingin mencuba, guna khidmat tekong tempatan adalah pilihan terbaik.

Tekong seperti Amex (gambar muka hadapan) dan Naim cukup arif dengan selok-belok sungai ini.

Mereka bukan sahaja tahu lokasi lubuk, malah memahami perubahan air dan tingkah laku ikan.

Dengan bimbingan mereka, peluang untuk merasai sambaran ikan pemangsa pertama di Sungai Merbok pasti lebih cerah.

Memancing di sini bukan sekadar menangkap ikan.

Ia tentang pengalaman, detik sunyi di muara, bunyi air yang mengalir perlahan dan debaran setiap kali gewang melalui zon berpotensi untuk sambaran.

Di sinilah, pemancing belajar untuk menghargai setiap peluang.

Dalam dunia siakap liar, tiada apa yang pasti. Hanya mereka yang sabar dan tekun akan diberi ganjaran.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN