fbpx

Elak haiwan ternakan berkeliaran di jalan semasa cuti Tahun Baharu Cina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota MDGM menangkap ekor lembu yang berkeliaran di sekitar jalan raya di Gua Musang kelmarin. -Foto IHSAN MDGM

GUA MUSANG – Pemilik haiwan ternakan seperti lembu dan kerbau di daerah ini diminta mengawal ternakan supaya tidak berkeliaran menganggu kawasan lalu lintas sepanjang jalan raya utama sempena cuti Tahun Baharu Cina ini.

Penolong Setiausaha Majlis Daerah Gua Musang (MDGM), W. Mohd. Afiq W. Alias berkata, mereka diingatkan agar bersikap lebih bertanggungjawab menjaga haiwan ternakan agar ia tidak bebas bergerak sehingga mengundang risiko kemalangan ketika musim perayaan.

Katanya, MDGM mengambil berat mengenai masalah haiwan ternakan berkeliaran di kawasan kampung atau bandar.

“Jabatan Penguatkuasaan MDGM dengan kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Veterinar telah melancarkan Operasi Bersepadu Haiwan Rayau kelmarin. Operasi itu dijalankan bagi memburu haiwan ternakan yang dilepaskan berkeliaran di sepanjang jalan utama Gua Musang-Kuala Krai dan Gua Musang-Jeli.

“Dalam operasi itu, MDGM menangkap dua ekor lembu betina di kawasan berkenaan yang dilihat mampu mengancam lalu lintas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

W. Mohd. Afiq berkata, operasi yang dilakukan di kawasan yang kerap berlaku kemalangan melibatkan kenderaan dengan haiwan rayau.

Katanya, operasi bermula pukul 3 hingga 6.30 petang melibatkan 21 orang anggota.

“Kawasan yang sering menjadi kawasan lembu rayau antaranya di Kampung Batu 6, Gua Sejuk, Kampung Renok, Felda Chiku dan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh.

“Tindakan diambil mengikut Undang-Undang Kecil Haiwan Merayau-Rayau (Majlis Daerah Gua Musang) (Pindaan) 2012. Pemilik haiwan tersebut boleh hadir ke pejabat MDGM untuk proses penebusan dalam masa tujuh hari dari tarikh penangkapan sebelum tindakan pelupusan diambil MDGM,” katanya.

Tambahnya, operasi penangkapan haiwan rayau akan diteruskan demi menjaga keselamatan pengguna jalan raya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI