fbpx

Angkut mayat guna Honda Civic

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mayat seorang lelaki dewasa di dalam guni ditemui selepas dibuang di tepi jalan di Klang pada 8 Januari lalu.

KLANG – Polis menemui petunjuk baharu berhubung pe­nemuan mayat dalam guni dipercayai dilakukan seorang lelaki yang menaiki kereta jenis Honda Civic berwarna perak.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, perkembangan terbaharu itu diperoleh daripada seorang wanita yang melihat kereta berkenaan di lokasi keja­dian pada pukul 7 malam, 8 ­Januari lalu.

Menurut beliau, saksi itu memaklumkan dia ternampak lelaki tersebut menarik satu bungkusan berwarna putih ke tepi jalan.

“Identiti suspek masih belum dikenal pasti kerana memakai topi, manakala plat kenderaan itu turut ditanggalkan.

“Satu pasukan khas ditubuhkan bagi mengesan pemilik kereta untuk membantu siasatan,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di Balai Polis Kapar di sini, semalam.

Berita berkaitan: Jumpa mayat lelaki reput dalam guni tepi jalan

Kosmo! pada 13 Januari lalu melaporkan misteri bau busuk daripada sebuah guni berwarna putih di tepi Jalan Persiaran Aman Perdana 1, di sini me­rungkai kepada penemuan mayat dipercayai lelaki hampir reput pada pukul 6.10 petang, 11 Januari lalu.

Mengulas lanjut, Vijaya memberitahu, identiti mangsa dikenal pasti sebagai lelaki warga Bangladesh berusia dalam lingku­ngan 30-an dan bekerja di sebuah kilang berdekatan lokasi keja­dian.

“Perkara itu disahkan rakan si mati menerusi proses pengecaman selepas melihat gelang ta­ngan pada mayat tersebut.

“Mangsa dikatakan hilang sejak 8 Januari lalu dan polis telah meminta kerjasama untuk mengesan keluarganya bagi ujian asid deoksiribonukleik,” ujarnya.

Tambah beliau, siasatan menyeluruh berhubung kes penemuan mayat lelaki itu sedang giat dijalankan.

Kes disiasat mengikut Sek­syen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan You Swee Leong di talian 012-4071452 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara di 03-32912222.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI