fbpx

Penduduk ‘mandi’ habuk jalan setiap hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan jalan Gua Musang-Kuala Lipis di Gua Musang yang berdebu ekoran kerja-kerja pembinaan projek lebuh raya CSR.

GUA MUSANG – Lebih 5,000 penduduk dan pengguna jalan raya laluan Gua Musang-Kuala Lipis terpaksa berdepan masalah debu dan habuk tanah sejak sebulan lalu akibat daripada pergerakan kenderaan berat dari kawasan Projek Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) dekat sini.

Penduduk mendakwa, debu dan kotoran tanah menyebabkan pengguna kereta dan penunggang motosikal terpaksa ‘bermandi’ habuk selain berdepan risiko kemalangan ekoran penglihatan terhad setiap kali melalui jalan berkenaan.

Seorang penduduk, Abdullah Sani Ariffin, 44, berkata, jalan juga akan menjadi berselut dan licin semasa cuaca hujan menjadikan kawasan tersebut bahaya untuk dilalui terutamanya oleh penunggang motosikal.

Katanya, penduduk di beberapa perumahan di sini seperti Taman Wangi, Taman Kesedar Jaya, Taman Damar, Kampung Tanah Putih, Kampung Pulai, Kampung Lepan Jaya, Kampung Mentara dan

Projek Penempatan Masyarakat Setempat (PPMS) Kesedar Sejahtera menggunakan jalan tersebut sebagai laluan utama untuk ke bandar setiap hari.

“Kami berharap kontraktor terlibat dapat membersihkan tanah dan pasir yang bertaburan di atas jalan selepas membuat kerja-kerja penyelenggaraan.

“Kami juga berharap kontraktor lebih bertanggungjawab dan jangan bersikap sambil lewa tanpa memikirkan keselamatan orang lain,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Abdul Hamid Mohamed, 57, berkata, tindakan kontraktor yang membiarkan jalan raya kotor bukan hanya menyebabkan pencemaran udara, tetapi turut mengancam keselamatan penduduk yang melalui jalan itu.

Katanya, selain penduduk tempatan yang terpaksa menghadapi masalah habuk, mereka juga bimbang dengan keselamatan anak-anak kerana jalan yang sama menjadi laluan utama untuk ke sekolah dan tempat kerja.

“Saya harap pihak berwajib dapat memantau dan segera selesaikan masalah ini. Kami bukannya mahu halang projek pembinaan jalan, namun biarlah pembangunan dijalankan tanpa menyusahkan penduduk,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kawalan Alam Sekitar Kanan daerah Gua Musang, Zaharizam Johny berkata, pihaknya turut me­nerima aduan daripada pengguna jalan raya di laluan Gua Musang-Kuala Krai yang turut terlibat dengan pembinaan le­buh raya CSR.

“Selain itu, ada juga aduan daripada pengguna di Bandar Utama di sini dan semua aduan kini dalam proses siasatan sebelum sebarang tindakan susulan diambil,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI