fbpx
TULUS menghiburkan seramai lebih 2,000 peminat tempatan pada malam Jumaat minggu lepas di Dewan Plenary, KLCC. Foto - SHIRAZ PROJECTS

Muzik sempurna, genius Tulus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JARUM jam menunjukkan waktu sekitar pukul 8.40 malam. Langit kota metropolitan Kuala Lumpur menangis membasahi bumi.

Di perut dewan Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), seorang bintang bernama Tulus sedang bersiap siaga menghiburkan 2,800 peminatnya.

Audiens menjerit berulang-ulang nama figura itu dek rasa tidak sabar membuai emosi dan ditiup semangat nyanyian merdu pemilik nama lengkap, Muhammad Tulus.

Dia memunculkan diri di atas pentas dan malam berkenaan menjadi antara yang akan dikenang sampai bila-bila pemuja muzik lelaki kelahiran Bukittinggi, Sumatera Barat, Indonesia itu.

Apa yang boleh disimpulkan usai menonton persembahan yang diberi judul Pertunjukan Fabulous Friday Presents Tulus? Sempurna, genius serba-serbi dan tidak terasa lebih kurang dua jam durasi persembahan berlalu begitu sahaja.

SEKEMBALINYA Tulus ke Malaysia selepas empat tahun disambut bahagia oleh peminat tempatan. – SHIRAZ PROJECTS

Susuk lelaki berusia 35 tahun itu memulakan nuansa persembahan dengan mengalunkan lagu paling hujung dalam diskografi berjudul Manusia iaitu Satu Kali. Vokal dan permainan emosi Tulus ternyata masih ampuh.

Sorakan penonton yang hadir ternyata menyembunyikan adrenalin gemuruhnya bertemu peminat Malaysia selepas kali terakhir berbuat demikian pada 2018 di Istana Budaya.

Merendah diri

“Salam perkenalan. Nama saya Tulus,” demikian ungkap penyanyi itu merendah dirinya ketika berbicara. Tidakkah dia tahu bahawa namanya begitu dijulang peminat muzik ‘urban’ Malaysia?

Atmosfera pertunjukan diteruskan dengan dendangan syahdu membelai jiwa lagu-lagu seperti Ruang Sendiri, Gajah dan Kelana. Tulus bukan sahaja seorang pemuzik yang bijak, dia juga mempunyai bakat komunikasi yang bagus.

Sebelum mendendangkan lagu Gajah, dia bercerita bahawa karya ciptaan penuh oleh dirinya itu adalah pengalaman hidup sewaktu kecil apabila sering diejek seperti haiwan bersaiz besar itu.

“Masa kecil, kawan-kawan panggil saya gajah disebabkan saiz badan saya. Lagu ini saya tulis daripada pengalaman waktu kecil,” katanya.

PERSEMBAHAN dua jam Tulus membuatkan peminat puas tetapi sudah pasti mereka mengharapkan figura ini akan kembali semula ke sini dengan sebuah perancangan lebih manis.

Persembahan terus membelah malam dengan permainan karya hit Tulus di Malaysia seperti 1,000 Tahun Lamanya yang membuatkan seisi dewan bergema dengan nyanyian ‘bareng’ penonton yang hadir menunjukkan betapa besarnya erti lagu tersebut kepada khalayak.

Tulus memainkan muzik sedikit rancak dengan lagu Labirin dan peminat kian ‘tidak senang duduk’. Berdiri, bertepuk tangan, berdansa dan menyanyi bersama dengan penyanyi kesukaan mereka itu.

Pandai bergurau, komunikasi

Sesekali, Tulus berseloroh dengan penonton: “Kalian menyanyi lebih sedap daripada saya. Kalau begitu, mari naik ke pentas gantikan saya.”

Meneruskan malam magis, Tulus yang merupakan graduan Universiti Katolik Parahyangan, Bandung menyanyikan dua lagu dalam versi akustik iaitu menerusi karya Jangan Cintai Aku Apa Adanya dan Sewindu.

Nyanyilah apa sahaja versi, komitmen Tulus sebagai pelantun lagu memang tidak boleh disangkal. Emosi yang dicatur buat peminat, menusuk. Dinamikanya ada, vokal pula seperti ‘telan kaset’. Sama seperti apa dirakamkan dalam album.

Pada malam persembahan, Tulus juga sempat menurunkan tandatangan di atas pentas buat peminat yang membawakan album fizikal terbaharunya berjudul Manusia.

“Sudah bercampur milik siapa semua (album) ini. Nanti bagaimana mahu dipulang kepada pemilik asal? Minta halal sahajalah, ya,” selorohnya di atas pentas.

Bahkan, ketika menyanyikan lagu Nala yang juga dipetik dari album Manusia, dia bersahaja menurunkan tandatangan buat peminat yang bertuah.

MEMBUAI emosi, Tulus bijak mengatur senarai lagu terbaik bagi disajikan buat peminatnya di Malaysia pada hujung minggu lalu.

Memberi apresiasi lebih mendalam buat pendukung muziknya, Tulus juga sempat turun pentas untuk bergambar, berjabat tangan dan memberi high five bersama audiens.

Malam konsert juga menyaksikan dia mendendangkan lagu berjudul Diri yang mengajak kita untuk berdamai dengan diri sendiri. Sejujurnya, audiens yang hadir sangat ‘perform’. Sepertinya, mereka bertindak sebagai penyanyi latar tidak berbayar buat Tulus.

Petikan gitar awalan muzik lagu Monokrom dimainkan dan pantas membuatkan penonton seperti terkena ‘histeria’. Buat mereka yang berstatus Teman Tulus (kelab peminat), lagu tersebut menjadi antara kegemaran muzik yang pernah dihadirkannya.

Persembahan dilanjutkan, Tulus mendendangkan lagu Teman Hidup dan berterusan acara ‘sing-along’. Ketika menyanyikan lagu tersebut, Tulus mengajak audiens berduet. Hasilnya, sangat tidak menghampakan menandakan bahawa fenomena muzik lelaki itu sememangnya membesar sihat di sini.

Perlu ‘stadium-tour’ di KL

Sepatu mengambil baton persembahan dan kemudian lagu yang membakar semangat, Tujuh Belas berkumandang. Semua berdiri dan menyanyi ‘bareng’ bersama Tulus. Satu dewan dibakar semangat dan naluri positif itu sepertinya diangkat untuk dicernakan menjalani kehidupan seharian atau mendatang.

Memasuki babak akhir, Tulus menyanyikan lagu paling popular yang menjadi pilihan ramai dari album Manusia berjudul Hati-Hati di Jalan. Sekali lagi, seluruh Plenary Hall bergema membuktikan betapa dekat muzik Tulus di hati peminat.

Seperti judul lagu yang terkandung maksud seperti mengucapkan selamat tinggal, namun berat hati untuk mengungkapkannya, barangkali itulah yang dirasai saat menoktahkan persembahannya dengan cemerlang.

TAK pernah lekang dengan sikap mesra peminat, persembahan Tulus tidak hanya tentang menyanyi bahkan lebih dari itu terutama melibatkan interaksinya bersama audiens.

“Sampai ketemu lagi. Nama saya Tulus. Terima kasih semua,” ujarnya sambil melambai tangan ke arah penonton.

Seperti dijangka, ada hutang yang belum langsai. Dia kembali dengan encore lagu Manusia Kuat. Satu antem yang cukup tepat untuk mengakhiri pertunjukan. Peminat berdiri tanda suka sampai ke waktu penamat.

Mereka melaungkan ‘we want more’, namun Tulus tidak lagi kembali ke pentas.

Sebagai pemuja muzik Tulus, kualiti persembahan dari sudut vokal, pemainan emosi dan interaksi dengan peminat 100 peratus sempurna. Apa yang kurang?

Sedikit cadangan, mungkin Tulus perlu bermain di lokasi yang lebih besar seperti stadium sesuai statusnya sebagai pemuzik ‘papan atas’. Kendatipun, terima kasih Tulus, semoga bertemu kembali!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN