fbpx

Cubaan takutkan hakim hina undang-undang, kebebasan kehakiman – Tengku Maimun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PUTRAJAYA - Tengku Maimun (depan kiri) ketika hadir pada Pembukaan Tahun Undang-undang 2023 di Pusat PICC di sini, hari ini.

PUTRAJAYA – Cubaan menakut-nakutkan hakim yang mengetuai kes-kes kepentingan awam jelas satu cubaan menghina secara langsung kepada kedaulatan undang-undang dan kebebasan kehakiman.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, perbuatan menakut-nakutkan hakim itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia memburukkan imej mahkamah.

“Adalah sangat tidak baik bagi sesiapa sahaja untuk cuba mencemarkan imej mahkamah melalui kritikan yang tidak adil, berat sebelah hanya kerana mereka tidak menyukai keputusan tertentu,” katanya ketika berucap pada Pembukaan Tahun Undang-undang 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Turut hadir Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Presiden Majlis Peguam Malaysia, Karen Cheah Yee Lynn.

Seramai 600 orang terdiri daripada hakim, pegawai dan pengamal undang-undang hadir pada majlis hari ini.

Ucapan itu turut menyatakan dalam setiap kes bergantung pada profesion undang-undang untuk menyediakan fakta dan konteks yang berkaitan sebelum ia boleh melaksanakan peranan dalam membuat keputusan.

Justeru katanya, bagi mengimbangi perkara itu, peguam mempunyai peranan penting dalam mengekalkan keyakinan dan kestabilan dalam sistem perundangan.

Tambah beliau adalah penting bagi peguam untuk memupuk kualiti yang memberi inspirasi keyakinan dalam menegakkan kebebasan Badan Kehakiman dan Kedaulatan Undang-undang di negara ini.

Katanya lagi, kebebasan kehakiman tidak akan terjejas selagi kes diputuskan tanpa rasa takut atau pilih kasih, tanpa niat jahat atau motif, tanpa sebarang tekanan luar atau selain tanpa mengira status.

“Selagi setiap hakim tetap komited kepada prinsip ini, dan bersatu saya yakin kebebasan kehakiman akan dipertahankan,” katanya lagi.

Beliau berkata, mengambil sistem keadilan jenayah sebagai contoh, mahkamah bukan satu-satunya pihak yang memberikan keadilan.

Ujar beliau, Badan Kehakiman turut dibantu pendakwaan, iaitu Jabatan Peguam Negara dan Badan Peguam.

Berdasarkan situasi itu, masing-masing mempunyai tanggungjawab yang berbeza tetapi tidak kurang pentingnya untuk mengekalkan standard profesional yang mana nyawa dan kebebasan dipertaruhkan.

Tambahnya, mereka yang terbukti bersalah akan disabitkan dan yang tidak terbukti (bersalah) akan dibebaskan.

“Ini adalah tugas kita sebagai hakim dan kami berazam untuk melaksanakan kewajipan tanpa mengambil kira sebarang ancaman yang dibuat untuk menghalang kita daripadanya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI