SEJAK kebelakangan ini, industri hiburan tanah air seperti ‘diganggu’ dengan kehadiran seorang individu dikenali sebagai Tareq Fit yang kerap mengeluarkan kenyataan teguran terhadap aktiviti seni.
Bagi segelintir pihak, semua kenyataan dan tegurannya adalah bersifat nasihat berguna bagi membentuk umat Islam mengikut cara yang sepatutnya.
Namun, untuk penggiat seni tanah air, kemunculannya tidak diraikan apatah lagi dengan cara menyebarkan pelbagai tuduhan sehingga menampakkan dunia hiburan sebagai satu ruang negatif.
Teguran mungkin boleh dilakukan dan diterima sesiapa sahaja namun seharusnya dengan cara serta ruang yang sepatutnya.
Menghina hasil rezeki sehingga dilabel sebagai tidak halal membuatkan sesiapa sahaja tersentak apatah lagi selepas membanting tulang selama berbulan-bulan untuk sesebuah naskhah, lagu atau apa sahaja karya seni.
Habis semua mahu dicuitnya sama ada dengan cara halus atau teguran yang kasar.
Bagi segelintir orang, itu adalah dakwa tetapi untuk individu yang diusik, seperti mahu menutup periuk nasi.
Lebih membuak-buakkan rasa kebencian anak seni, dia juga dijemput dalam beberapa audio siar bagi membincangkan mengenai segala teguran yang dilemparkan kepada penggiat seni tempatan.
Hanya berniat untuk meluruskan kembali segala yang terpesong, mungkin cara yang dilakukan tidak sesuai dan teguran terlalu kasar.
Namun bukan hanya seorang individu, ramai lagi sebelum ini kerap melakukan hal sama, cuma tiada respons diberikan kepadanya.
Mengulas mengenai kemunculan individu tersebut, pelakon, Kodi Rasheed atau nama penuhnya, Muhammad Shazmeer Mohd. Rasheed berkata, isu haram atau halal mengenai sumber pendapatan seorang anak seni tidak layak ditentukan oleh mana-mana individu.
Tegasnya, menegur dengan cara membuka aib orang lain kepada umum juga adalah bukan cara yang tepat terutama dalam media sosial.
“Siapa kita untuk meletakkan halal dan haram terutama untuk rezeki seseorang. Maksudnya kalau kita sibuk nak buat kerja Tuhan, baik kita tengok diri sendiri dahulu.
“Sekarang ini Allah tak buka aib kita, jadi jangan sibuk buka aib orang lain kerana bimbang kesannya nanti tidak tercapai dek akal,” katanya.
Dia juga menegaskan, masyarakat perlu melihat industri seni dalam pelbagai sisi dan tidak mudah termakan dengan tuduhan negatif pihak lain.
“Anak seni mungkin ada yang marah tetapi ada juga yang rasa kasihan kerana terfikir, dia sebenarnya laparkan apa? Perhatian atau populariti?,” soalnya.
Menurut Kodi, individu itu hanya nampak sisi yang negatif, hakikatnya banyak karya dan naskhah tempatan yang menyebarkan mesej positif. Jangan lihat benda sampah dan lemparkan tuduhan yang bukan-bukan.
Dalam masa sama, dia turut berpendapat ruangan podcast tidak mengundang mana-mana individu yang tak sepatutnya menjadi tetamu jemputan semata-mata untuk meraih jumlah tontonan atau pendengar tinggi.
“Kita faham kalian mahu podcast cepat popular dan viral tetapi bukan dengan cara buka aib orang lain kepada satu dunia.
“Sekarang memang mencanak-canak tontonan dan ramai pengikut tetapi realitinya, buka aib orang dan itu tidak menghalalkan cara. Janganlah angkat golongan yang tidak perlu dijulang.
“Kalau rasa dia membawa perkara negatif, jangan sesekali dilayan dan diberi perhatian, biarkan sahaja daripada terus membesar-besarkan isu yang tidak sepatutnya,” ujarnya.














