fbpx

Lelaki warga emas maut, isteri cedera nahas empat kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA bomba membantu membawa keluar mangsa yang tersepit dalam nahas di Kilometer 358.7, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Tapah hari ini.-IHSAN JBPM

TAPAH – Seorang lelaki warga emas maut dalam nahas membabitkan empat buah kenderaan di Kilometer 358.7, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini petang tadi.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Liew Kim Fah, 71, pemandu kereta Mazda CX-5 manakala isterinya, Oo Yop Chu @ Ho Yeh Choo, 59, pula cedera parah.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, maklumat kejadian membabitkan empat kenderaan itu diterima pada pukul 5.25 petang dan siasatan awal mendapati, kenderaan jenis Hilux milik Plus Ronda telah berhenti di lorong kecemasan untuk memberi bantuan kepada kereta jenis Suzuki Swift yang mengalami tayar pancit.

“Kejadian berlaku apabila sebuah kereta jenis Mazda CX-5 yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh itu telah melanggar belakang Hilux.

“Pelanggaran itu menyebabkan Hilux berkenaan melanggar belakang Suzuki Swift manakala kereta Mazda dipandu lelaki warga emas itu telah terbabas ke kanan jalan dan dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta jenis Kia Optima,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Katanya, dalam kejadian itu, pemandu dan penumpang kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat. Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI