fbpx

Pengasas Big Blue Taxi Services didakwa songlap duit Exco Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh diringi anggota polis selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

MELAKA – Pengasas Big Blue Taxi Services, Shamsubahrin Ismail dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan membabitkan penipuan pembelian kereta mewah dan menggunakan gelaran Datuk palsu, dua tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 57 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memperdaya Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Koperasi dan Usahawan Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang mendorong beliau menyerahkan wang berjumlah RM95,000 bagi mendapatkan kenderaan jenis Toyota Alphard model tahun 2019 berharga RM180,000 dan nombor pendaftaran kenderaan khas, VVP 7.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah menggunakan gelaran dan kehormatan sebagai Datuk untuk tujuan keuntungan peribadi tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Menteri.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan tertuduh di Pejabat Speaker Dewan Negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh dalam daerah Melaka Tengah pada 7 Disember 2021.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin mencadangkan jaminan RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan beserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Bagaimanapun, Peguam Loh Chon Mee yang mewakili tertuduh merayu agar jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh sedang menghadapi perbicaraan lain di Kuala Lumpur dan Selangor serta memerlukan perbelanjaan yang besar untuk rawatan dialisis dan kemoterapi.

Setelah mendengar hujah kedua belah pihak, Darmafikri membenarkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan bersetuju dengan syarat-syarat tambahan pendakwaan.

Beliau kemudian menetapkan tarikh 7 Februari sebagai semula kes dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI