fbpx

KPDN rampas 350 unit produk penjagaan rambut tiruan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai penguat kuasa KPDN Cawangan Kulim memeriksa produk penjagaan rambut disyaki tiruan di Taman Kempas, Kulim hari ini.

KULIM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas sebanyak 350 unit produk penjagaan rambut jenama antarabangsa disyaki tiruan bernilai RM52,500 di Taman Kempas di sini semalam.

Dalam serbuan Ops Jeriji kira-kira pukul 10 pagi itu, sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN Cawangan Kulim turut menahan seorang lelaki tempatan di bawah Seksyen 119 (1) Akta Cap Dagang 2019.

Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, risikan awal telah dijalankan pengadu yang merupakan pemilik cap dagang produk tersebut.

“Pengadu memesan empat unit produk jenama berkenaan secara dalam talian menerusi platform e-dagang.

“Semasa barangan diterima, pengadu mengesyaki ia adalah tiruan kerana terdapat sedikit perbezaan daripada segi pembungkusan dan tulisan jenama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, katanya, penjual barangan tersebut juga bukan daripada ejen yang dilesenkan oleh syarikat terlibat.

Menurutnya, sepasukan pegawai penguat kuasa kemudian menjalankan pemeriksaan bersama empat pengadu berhubung penjualan produk penjagaan rambut yang menggunakan cap dagang berdaftar.

“Barangan tersebut dipesan secara dalam talian dari China untuk tujuan jualan kepada pengguna.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, kita menjumpai sebanyak 350 unit produk tersebut dan kesemua barang sitaan disimpan di stor KPDN Kulim untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 102(1)(c) iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang yang merupakan suatu cap dagangan berdaftar dan dipakaikan dengan salah di bawah seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI