fbpx

Lyaa serik ‘ditikam’ sahabat baik, berhati-hati pilih kawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LYAA mahu bahagiakan keluarga yang telah banyak berkorban.

Berperwatakan ceria dan lincah, gadis berusia 21 tahun ini bukan sahaja disenangi rakan, malah dia juga selesa menjalankan aktiviti kegemarannya iaitu mencuba makanan baharu di sekitar Pulau Pinang bersama sahabat terdekat.

Bukan itu sahaja, Lyaa atau nama sebenarnya, Nur Alyaa Aqilah Abdul Aziz sentiasa berkongsi momen indah itu di media sosial sebagai tanda menghargai persahabatan yang terjalin.

Namun, detik indah itu ada kalanya tidak seperti yang digambarkan. Anak bongsu daripada empat beradik ini kini lebih selektif bersahabat selepas pernah dikhianati oleh insan yang dipercayai.

Insiden tersebut bagaimanapun tidak mematahkan semangat Lyaa untuk terus berkawan.

Bersama Kosmo! Ahad, Lyaa berkongsi pelbagai perkara mengenai latar kehidupannya.

KOSMO! AHAD!: Kongsikan serba sedikit tentang Lyaa.
LYAA: Saya merupakan pelajar jurusan Sarjana Muda Sistem & Pengurusan Pejabat di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah. Saya meminati bidang fesyen dan suatu hari nanti pasti saya ada perniagaan dalam bidang ini. Selain tu, saya suka ‘cafe hun­ting’. Setiap kafe yang saya singgah pasti saya akan mengambil gambar untuk dikongsi di media sosial sebagai kenangan.

Kebiasaannya cafe hunting dengan teman atau sendiri?
Ada kalanya bukan sekadar cafe hunting, sesekali saya buat juga cafe review dan kebiasaannya saya bawa kawan-kawan sekali. Yang pasti, merekalah yang paling gembira bila saya ajak makan percuma, sedap-sedap! Sehingga kini lebih kurang 20 buah kafe sudah kami kunjungi.

Antara pengalaman paling buruk bersama teman?
Saya jenis yang tidak mudah beremosi dengan kawan-kawan. Tapi, ada satu insiden yang membuatkan saya lebih berhati-hati selepas kepercayaan saya dikhia­nati. Pengalaman ‘ditikam belakang’ oleh teman baik sendiri tanpa dapat membela diri sangat menyakitkan. Saya sendiri tidak tahu puncanya tetapi kalau benar silap di pihak saya, rasanya berterus-terang itu lebih baik.

Bagaimana situasi Lyaa selepas itu?
Kesannya memang cukup terasa. Hingga kini saya memang susah nak percaya orang selain daripada kawan sekolah menengah dan diploma yang tertentu. ‘Trust no one’ (jangan percayakan sesiapa) menjadi prinsip saya sejak kejadian pahit tersebut.

LYAA kini lebih berhati-hati dalam memilih kawan.

Definisi sahabat sejati?
Tidak semestinya kena selalu berjumpa atau bermesej, tetapi kalau ada masalah dia selalu ada untuk kita dan sentiasa bersama ketika susah atau senang.

Kelebihan Lyaa?

Kebolehan paling ketara ialah saya pandai cari duit sambil belajar. Walaupun sibuk dengan pelajaran, saya ambil peluang cari pendapatan dengan membuat kerja-kerja ‘review’ (ulasan) dan penggambaran. Bukan itu sahaja, saya juga ada jual baju ‘prelove’ di Instagram.

Cara bahagikan masa?
Saya akan tulis nota dan tarikh berkaitan pelajaran dan pekerjaan supaya sentiasa peka dengan masa. Selain itu, saya peruntukkan masa khas di hari minggu untuk kerja-kerja ‘review’ sementara hari lain untuk kelas dan diri sendiri. Tidak dinafikan adakala rasa terbeban tapi mujur ada orang sekeliling yang selalu bantu beri sokongan.

Perancangan lima tahun akan datang?
Saya sudah mendapat pekerjaan yang baik dan sesuai dengan kelulusan dan minat saya. Selain itu, saya ingin mengembara bersama kawan-kawan baik dan buat perkara yang tidak pernah dilakukan dalam hidup seperti aktiviti lasak. Saya juga mahu beli rumah dan bahagiakan ibu terlebih dahulu kerana dia sudah banyak berkorban untuk saya.

Lelaki pilihan Lyaa?
Tentunya yang matang dan bertanggungjawab. Paling pen­ting, penyabar sebabnya saya jenis yang ‘gila-gila’ sikit. Saya juga sukakan lelaki berkulit hitam manis.

Lelaki paling dibenci?
Individu yang baran, kaki pukul dan suka bercakap kasar. Saya cepat tersentuh dan sedih jika perlu berhadapan dengan lelaki sebegini.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI