fbpx

JKN Sarawak pandang serius kes Pegawai Perubatan cabul pesakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUCHING – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak memandang serius kes membabitkan dakwaan ke atas seorang Pegawai Perubatan yang mencabul pesakit di sebuah fasiliti kesihatan di sini.

Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Ooi Choo Huck menegaskan JKN Sarawak sentiasa memandang berat berkaitan keselamatan pesakit yang menerima rawatan di semua fasilitinya di Sarawak.

“JKN Sarawak amat memandang serius ke atas dakwaan yang menyentuh mengenai kod etika profesional seorang pengamal perubatan dan juga sebagai penjawat awam,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata JKN Sarawak mengesahkan satu laporan polis telah dibuat berkaitan dakwaan
tersebut pada 29 Disember lalu dan satu tangkapan polis telah dilakukan pada hari sama.

Katanya kes berkenaan kini masih dalam siasatan pihak polis.

Justeru, beliau meminta orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi sehingga boleh menjejaskan siasatan.

“JKN Sarawak turut berharap agar kejadian ini tidak menjejaskan penerimaan perkhidmatan rawatan dalam kalangan orang ramai,” katanya.

Sementara, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Sueprintendan Merbin Lisa mengesahkan pihaknya telah menerima satu laporan yang dibuat oleh seorang wanita berusia 34 tahun berkenaan kes itu, pada pukul 6.09 petang 29 Disember lalu.

Katanya mangsa menyatakan telah menjadi mangsa cabul ketika sedang menjalani rawatan di sebuah pusat perubatan di sini, kira-kira pukul 11.30 pagi.

“Suspek telah mengambil kesempatan untuk mencabul kehormatan mangsa ketika menjalankan prosedur pemeriksaan secara bersendirian di dalam bilik rawatan,” katanya dalam kenyataan.

Merbin berkata bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching telah menangkap suspek, seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun yang merupakan Pegawai Perubatan di institusi berkenaan bagi membantu siasatan.

Katanya kertas siasatan telah dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi tentang kejadian atau kenyataan yang tidak tepat berkenaan kes terbabit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI