fbpx

Minyak peket kini jadi barang ‘panas’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai melihat papan tanda yang menyatakan minyak peket habis di sebuah kedai runcit di Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN – Isu bekalan minyak peket bersubsidi satu ki­logram (kg) di negeri ini masih belum menemui titik penyelesaian apabila sudah lebih tiga bulan tiada di pasaran di negeri ini.

Malah jika ada dijual pun, cuma dalam kuantiti yang sedikit dan peniaga didakwa ‘pilih kasih’ dengan menjual kepada pelanggan tertentu sahaja.

Tinjauan Kosmo! di lima premis peruncitan dan dua pasar raya mini di daerah Barat Daya serta Timur Laut di sini semalam mendapati, bekalan ke­perluan wajib isi rumah itu tiada langsung dipamerkan di rak barangan atau dalam kotak minyak berwarna coklat.

Hasil temu bual dengan peniaga, mereka mengatakan bekalan minyak peket itu merupakan ‘barang panas’ yang cepat habis kurang tempoh setengah hari dihantar pihak pembekal.

‘Minyak masak peket tiada’, ‘belum dihantar pembekal’, ‘mi­nyak peket baru habis dijual’ dan ‘Sabtu ini baru sampai bekalan ke kedai’ antara alasan pa­ling sinonim yang diguna pakai peniaga.

Seorang peniaga kedai runcit yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 48, berkata, dia terpaksa memilih pendekatan menjual bekalan keperluan itu hanya kepada pelanggan tetap atau individu yang dikenalinya sahaja.

Dakwanya, kaedah ini sememangnya sudah lama dilakukannya dengan alasan perlu me­ngutamakan keperluan pe­langgan tetap dengan pembelian barangan lain di kedai yang diusahakannya sejak hampir dua dekad lalu.

“Setiap pelanggan terutama isi rumah kategori B40 atau warga emas akan diberi sepeket atau dua peket bergantung situasi atau keadaan isi rumah mereka,” jelasnya.

Seorang pembantu di sebuah pasar raya mini di daerah Barat Daya, Azlan Hassan, 25, pula menambah, bekalan minyak peket yang diletak di rak jualan akan habis kurang tempoh tiga jam.

Jelasnya, kira-kira 100 peket minyak masak akan dijual setiap tiga kali seminggu bergantung pada stok yang dihantar pembekal.

“Kebiasaannya, minyak peket bersubsidi dilihat sudah ‘disapu habis’ pelanggan seawal pukul 12 tengah hari sebaik diletakkan atas rak pada pukul 10 pagi, seawal operasi premis dibuka,” jelasnya.

Tambahnya, minyak masak yang dijual berkonsepkan ‘siapa cepat dia dapat’ kalau pembeli datang lambat maknanya sudah habis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI