fbpx

Lelaki maut, motosikal rempuh kereta masuk simpang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan motosikal mangsa selepas merempuh sebuah kereta di Kilometer 17, Jalan Melawi - Kuala Besut berhampiran simpang tiga Perahu Tok Bali, Pasir Puteh malam tadi. IHSAN POLIS

PASIR PUTEH – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta yang sedang membelok masuk ke simpang di Kilometer 17, Jalan Melawi – Kuala Besut berhampiran simpang tiga Perahu Tok Bali di sini semalam.

Dalam nahas kira-kira pukul 9.10 malam itu, mangsa yang berusia 32 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ dari arah Jalan Kuala Besut ke Melawi.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dipandu seorang lelaki berusia 22 tahun dari arah bertentangan dipercayai membelok ke kanan untuk memasuki simpang ke Pasir Puteh.

“Insiden itu menyebabkan mangsa merempuh bahagian sisi kiri kereta berkenaan sebelum berpusing dan melanggar sebuah kren yang berada di tepi simpang Pasir Puteh ke Kuala Besut.

“Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian manakala pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zaizul Rizal, pemandu kereta tersebut ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh di sini dan ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu negatif dadah.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Sub Inspektor Jafri Ismail di talian 019-938 6224 untuk membantu siasatan.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI