fbpx

Buat laporan palsu, pelajar kolej swasta disiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Seorang pelajar kolej swasta disiasat selepas membuat laporan palsu dirompak secara berkumpulan dengan menggunakan senjata di kawasan pentadbiran Petaling Jaya di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya telah menerima laporan yang dibuat oleh pelajar lelaki berumur 19 tahun itu dirompak oleh tiga lelaki menyebabkan kerugian berjumlah RM10,300 kira-kira pukul 9.46 malam.

“Siasatan telah dijalankan dan mendapati laporan pengadu tentang kejadian rompak yang dibuat itu didapati adalah palsu dan kejadian yang dilaporkan adalah tidak berlaku.

“Suspek telah menyalahgunakan wang simpanannya yang diberi oleh keluarga dan alasan disamun juga digunakan untuk tidak membayar wang dipinjam daripada rakan suspek,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, berhubung laporan yang dibuat oleh suspek, satu laporan polis telah dibuat oleh pegawai penyiasat terhadap pengadu dan kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana dengan niat menyebabkan penjawat awam menggunakan kuasanya yang sah disisi undang-undang yang mendatangkan bencana.

Mohamad Fakhrudin berkata, suspek tidak ditahan, namun pihak polis dalam proses melengkapkan siasatan untuk pertuduhan suspek di mahkamah.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya membuat sebarang laporan palsu dan boleh didakwa di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai enam bulan atau denda yang boleh hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI