fbpx

Syarikat produk kesihatan didenda RM100,000 berniaga tanpa lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail (baju biru) selepas prosiding di Mahkamah Sesyen Shah Alam. FOTO AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Padah buat sebuah syarikat jualan langsung produk kesihatan apabila didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas menjalankan perniagaan tanpa lesen sah, Januari lalu.

Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu terhadap syarikat Volten Asiaemall Sdn. Bhd diwakili pengarah, Ismail Che Ani selaku Orang Kena Saman (OKS), selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

OKS membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu didakwa menjalankan perniagaan jualan langsung dengan cara menjual produk kesihatan melalui laman sesawang milik syarikat mereka.

Ini dilakukan dengan menggunakan rangkaian pemasaran bagi maksud untuk mendapatkan faedah ekonomi tanpa lesen yang sah di sebuah premis di Seksyen 15, di sini pada 3.03 petang, 19 Januari lalu.

Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1juta dan bagi kesalahan kedua tidak melebihi RM2juta mengikut Seksyen 4(1) Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 dan boleh dihukum di bawah seksyen 4(2)(a) akta sama.

Peguam Jefri Jaafar mewakili OKS ketika rayuan merayu denda paling munasabah dengan alasan syarikat tersebut kini telah mempunyai lesen yang sah.

“Kewangan syarikat agak terjejas selepas pandemik Covid-19. Jika denda tinggi dikenakan akan menjadi beban kepada syarikat,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Syazwani Zawawi memohon mahkamah mengenakan hukuman denda yang tinggi agar syarikat berkenaan tidak mengulangi kesilapan sama.

“Penalti yang pernah dikenakan terhadap pesalah di bawah Akta Jualan Langsung 1993 tidak menampakkan keberkesanannya dalam usaha mendidik serta mengubah tingkah laku. Jumlahnya yang kecil membolehkan mereka membayarnya secara tunai dan kes diselesaikan di luar mahkamah.

“Namun setelah pembayaran dibuat, kesalahan sama diulang keesokan harinya. Ini kerana pulangan yang diperolehi daripada penipuan tersebut adalah berlipat kali ganda jumlahnya.

“Justeru, peruntukan baharu rang undang-undang ini telah menaikkan jumlah penalti dan penjara maksimum bagi semua kesalahan yang terdapat di dalam akta ini sebagai tindakan pencegahan atau deterrent,” tegasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI