fbpx

Saluran parit tertutup punca banjir di Kota Bharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua kanak-kanak menaiki bahagian hadapan jentolak semasa mengharung banjir di Batu 11, Ketereh di Kota Bharu hari ini. FOTO/ KAMARUL BISMI KAMARUZZAMAN

KOTA BHARU – Saluran sistem perparitan yang tertutup selepas ditambak dengan tanah dipercayai merupakan salah satu punca kejadian banjir yang berlaku di kebanyakan kawasan di daerah ini semalam.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, selain hujan lebat, isu perparitan turut dilihat sebagai punca berlaku bencana banjir luar biasa kali ini.

Menurutnya, kemudahan parit telah disediakan di sesetengah kawasan, namun ia tidak dijaga dengan baik apabila ada penduduk menambak tanah di kawasan tempat tinggal sehingga menyebabkan saluran parit tertutup.

“Di sesetengah kawasan pula memang terdapat isu kekurangan parit. Kerajaan negeri akan mengambil perhatian berkenaan perkara ini.

“Bagi mengatasi banjir kilat, kita telah mengenal pasti beberapa kawasan dianggap titik panas dan meluluskan peruntukan untuk menyediakan parit dan longkang di kawasan tertentu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu memberitahu, projek perparitan baharu belum dimulakan kerana sudah memasuki hujung tahun apabila kebiasaannya kerajaan tidak mengeluarkan kelulusan atau kontrak dalam tempoh ini.

Katanya, kerajaan negeri telah meminta pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mengenal pasti titik panas di seluruh Kelantan dan memilih kawasan yang perlu diutamakan.

“Kita harap orang ramai dapat berpindah segera apabila menerima arahan kerana pihak berkuasa seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Mangsa banjir dan pasukan menyelamat akan mengalami kesukaran apabila berpindah saat-saat akhir terutamanya apabila banjir besar dan air terlalu deras,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI