fbpx
Pengalaman hari pertama bermalam di asrama sekolah ternyata meninggalkan memori seram buat Masrita. – Gambar hiasan

Pelajar asrama ketakutan diganggu bunyi misteri pada waktu malam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MESKIPUN 17 tahun telah berlalu, namun pengalaman kali pertama masuk ke sekolah berasrama ternyata meninggalkan memori seram yang tidak dapat dilupakan sehingga kini.

Masrita Muhammad, 33, berkata, impiannya untuk hidup berdikari tercapai ketika tingkatan empat selepas diterima masuk ke salah sebuah sekolah berasrama di Kota Tinggi, Johor.

Katanya, perasaan teruja kerana dapat hidup berdikari, selain rasa tidak sabar untuk bertemu rakan-rakan baharu memuncak pada hari pendaftaran masuk ke sekolah berkenaan.

Bagaimanapun, perasaan itu mulai luntur tatkala warden menunjukkan bilik asrama puteri F6 yang terletak di hujung bangunan dua tingkat berkenaan.

Perasaan kurang enak mula menyelubungi Masrita apabila katil yang diberikan oleh warden kepadanya betul-betul terletak di sebelah pintu.

“Saya merupakan pelajar intake ketiga di sekolah asrama itu. Jadi, kebanyakan katil sudah penuh. Bilik itu ada 13 katil yang menempatkan pelajar junior dan senior.

“Namun, hanya tiga katil saja yang masih kosong. Dua daripadanya terletak betul-betul di sebelah bilik stor. Bilik itu memang ada di setiap asrama yang terletak di hujung bangunan.

“Satu lagi katil terletak betul-betul sebelah pintu masuk. Warden mencadangkan agar saya memilih katil di sebelah pintu,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Ketika melihat dua lagi katil kosong di sebelah stor, pelbagai cerita seram bermain dalam fikiran Masrita. Lebih-lebih lagi apabila dia selalu mendengar pelbagai kisah misteri daripada mereka yang duduk di asrama.

Disebabkan itu, Masrita memilih katil di sebelah pintu kerana dia bukanlah seorang yang berani. Namun, dia hanya buat-buat berani kerana tiada pilihan lain.

Cerita Masrita, pengalamannya pada hari pertama tidur di asrama memang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Manakan tidak, boleh dikatakan hampir semalaman dia tidak boleh melelapkan mata meskipun telah dipaksa.

Tepat pukul 10 malam, setiap bilik asrama wajib mematikan lampu bagi memastikan semua pelajar mendapat tidur dan rehat secukupnya.

Malam pertama di asrama bukanlah permulaan yang menyeronokkan buat Masrita. Apatah lagi sebagai budak baharu, dia belum ada kawan baik ketika itu.

“Tidak lama kemudian, saya mendengar bunyi kaki basah bergesel dengan selipar dari kejauhan. Bunyi yang biasa didengari ketika pelajar berjalan keluar dari bilik air selepas mandi.

“Dalam hati saya berkata, siapa pula yang pergi mandi malam-malam buta dan berjalan di koridor asrama? Bahkan, tiada bunyi pintu bilik dibuka sebagai tanda ada penghuni asrama ke bilik air.

“Tandas hanya terletak selang satu bilik sahaja dari asrama saya. Perasaan mula tidak keruan apabila bunyi itu seolah-olah ‘bertawaf’ di koridor pada sepanjang malam. Bunyinya sangat kuat,” katanya.

Menurut Masrita, bagi mengurangkan rasa takut, dia cuba bersangka baik, meskipun jauh di sudut hatinya memikirkan perkara yang bukan-bukan.

Katanya, dia teringat akan pesan orang tua-tua bahawa setiap sangkaan boleh menjadi kenyataan.

Jelasnya, sudah tentu dia tidak mahu sangkaan-sangkaan seram yang dibayangkan menjadi realiti pada malam pertama tidur di asrama.

Kejadian aneh yang berlaku itu tidak diceritakan kepada sesiapa termasuklah rakan sebilik dengan Masrita. Sebaliknya, ia disimpan rapi sambil berdoa agar peristiwa itu tidak berulang pada malam seterusnya.

“Bagaimanapun, semuanya meleset apabila bunyi kaki basah bergesel dengan selipar itu masih mengganggu. Fikiran saya jadi tidak keruan. Kali ini bunyi berkenaan terlalu hampir dengan bilik kami.

“Imaginasi ketika itu membayangkan nasib saya jika tiba-tiba pintu bilik yang berkunci terbuka dengan sendirinya. Saya juga bimbang jika ‘benda’ itu mengetuk tingkap di atas kepala saya.

“Syukur ia tidak berlaku dan saya terus bersangka baik meskipun bunyi misteri itu terus mengganggu sepanjang malam pada hari kedua dan ketiga. Disebabkan itu, saya tidak dapat melelapkan mata dan pergi ke sekolah dalam keadaan mengantuk,” katanya.

Masrita berkata, seminggu berlalu dan hubungannya dengan rakan sebilik semakin baik.

Selepas itu, dia mula meluahkan rasa tidak selesa akan bunyi misteri berkenaan kepada rakan sebiliknya. “Rata-rata mereka terkejut mendengar cerita saya. Mereka juga memaklumkan bahawa tidak pernah dengar apa-apa bunyi pada waktu malam seperti didengari oleh saya.

“Sejak itu mereka mengajak saya untuk menggabungkan katil dan tidur beramai-ramai. Selepas itu tiada lagi bunyi misteri berkenaan mengacau saya.

“Rupanya bukan saya seorang sahaja yang mengalami peristiwa aneh di asrama itu. Bahkan, saya pernah melihat sendiri salah seorang rakan diserang histeria.

“Mujurlah ‘benda’ itu tidak muncul di depan saya. Mungkin bunyi misteri itu sekadar untuk mengusik saya sebagai penghuni baharu di asrama berkenaan.

“Walaupun ini bukanlah satu cerita yang begitu menyeramkan kepada orang lain, namun pengalaman berkenaan sangat menakutkan saya. Setiap kali mengenangkan kembali kisah itu, bulu roma saya pasti meremang dan berharap ia tidak berulang lagi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN