PETALING JAYA – Pemilik treler muatan simen putih yang terlibat dalam kemalangan meragut nyawa seorang bayi dalam kandungan memaklumkan pihaknya tidak mengetahui insiden tersebut begitu serius sehingga menyebabkan kematian.
Mangsa yang dikenali sebagai Koh, 29, memberitahu, perkara berkenaan dimaklumkan kepadanya selepas dia dihubungi syarikat tersebut kira-kira pukul 3.40 petang pada Selasa lalu.
“Pemilik syarikat mendakwa mereka tidak tahu kemalangan begitu teruk. Menurut mereka, pihak logistik (syarikat) cuma memaklumkan kehilangan stok disebabkan insiden,” katanya ketika dihubungi Kosmo! kelmarin.
Bercerita lanjut, Koh menegaskan dia tidak akan memaafkan pemandu treler dan syarikat terlibat kerana kecewa apabila mengetahui pemandu berusia 47 tahun itu mempunyai 10 saman trafik melibatkan pelbagai kesalahan sejak tahun 2012 hingga 2022.
“Saya tidak dapat memaafkan mereka (pemandu treler dan syarikat). Pemandu tersebut tidak mengambil serius undang-undang, lesen memandunya tamat tempoh dan memandu secara berbahaya.
Ini semua tidak mengambil serius nyawa orang lain dan dia mesti dihukum,” tegasnya.
Justeru, Koh berharap agar Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memainkan peranan sewajarnya dalam memastikan pesalah tersebut dihukum dengan setimpal selain turut mengenakan denda terhadap syarikat kerana cuai memastikan pekerja mereka ikut peraturan.
“Mereka semua mesti dihukum dan syarikat lori juga perlu didenda,” ujarnya.
Dalam pada itu, Koh berkata, pihak UAC memaklumkan, pihak syarikat akan mengadakan mesyuarat berhubung kemalangan tersebut bagi menentukan tindakan lanjut yang akan dilakukan.
“Tiada sebarang pampasan yang akan membuatkan anak-anak kita kembali.
“Saya berharap tiada lagi kejadian sebegini berlaku selepas ini. Saya tidak mahu ada keluarga yang menderita dan mengalami kesakitan seperti saya,” ujarnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila kenderaan yang dinaiki mereka terbalik selepas terlibat dalam kemalangan di laluan Gerik-Jeli sehingga meragut nyawa bayi dalam kandungan.
Nahas pada 29 Oktober lalu, meragut nyawa bayi sulung mereka dalam kandungan yang berusia 34 minggu.















