fbpx

51 penternak terima bantuan RM1.081 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norlela (empat dari kanan) ketika Majlis Penyerahan Bantuan dan Insentif Pembangunan Projek Industri Ternakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang Tahun 2022, di sini hari ini.

SEBERANG PERAI – Seramai 51 penternak menerima bantuan utama dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri menerusi peruntukan pembangunan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi tahun 2022 berjumlah RM1.081 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar serta Kesihatan negeri, Dr. Norlela Ariffin berkata, bantuan tersebut meliputi binaan baharu serta naik taraf kandang, reban, premis, peralatan penternakan serta baka ternakan.

“Kerajaan negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pulau Pinang Agroteknologi dan Keselamatan Makanan serta agensi kerajaan berkaitan sentiasa menyokong segala dasar serta perancangan di peringkat jabatan yang mensasarkan perkembangan industri pertanian khususnya penternakan.

“Hal ini sangat penting bagi keterjaminan serta keselamatan makanan negeri mencukupi dan memenuhi keperluan semua rakyat,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Bantuan dan Insentif Pembangunan Projek Industri Ternakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang Tahun 2022, di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya turut menyampaikan pengagihan insentif makanan ternakan dan penokok diet bagi 215 orang penternak ruminan besar dan kecil serta pengagihan insentif makanan ternakan aneka haiwan meliputi penternak rusa, kuda dan arnab melibatkan 57 orang dengan jumlah peruntukan sebanyak RM28,861.00.

“Menerusi majlis ini juga, kerajaan negeri juga menyampaikan pemberian anak ayam dan makanan ternakan di bawah Program Bantuan Rakyat kepada 282 orang penerima dengan jumlah peruntukan sebanyak RM105,468.00.

“Inisiatif ini adalah bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara melalui inisiatif strategik iaitu memodenkan dan mempelbagaikan pertanian lestari,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri, Dr. Saira Banu Mohamed Rejab berkata, sebanyak 162 aduan diterima melibatkan kes pengabaian dan penganiayaan terhadap haiwan telah dicatatkan sepanjang Januari hingga November tahun ini.

“Ini melibatkan kes-kes tidak kritikal di mana berlakunya pengabaian seperti tali tambatan terlalu pendek, jerutan pada leher haiwan sehingga mengakibatkan ketidakselesaan, penyediaan tempat tinggal haiwan yang tidak sesuai, haiwan sering terdedah kepada panas dan hujan dan lain-lain kesalahan berkait.

“Bagi kes kritikal pula lebih kepada perbuatan menganiaya sehingga mendatangkan kecederaan serius atau kematian, di mana kesemua kesalahan jika disabitkan kesalahan boleh didakwa di bawah Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI